Fiesta NBOS Mesra Rakyat Peluang Masyarakat Fahami Strategi Kerajaan

KLUANG, 11 Feb (Bernama) -- Fiesta Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) Mesra Rakyat diyakini membuka lebih ruang kepada masyarakat untuk memahami kaedah dan strategi kerajaan dalam membangunkan negara.
Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata inisiatif oleh Kementerian Kewangan itu menyediakan perkhidmatan terbaik kepada rakyat sekali gus mendedahkan mereka khususnya di luar bandar berhubung idea-idea NBOS dilaksana kerajaan.
"Secara peribadi, saya terlibat dengan pelaksanaan NBOS pada 2009. Pada masa itu, tidak terlintas bahawa apa yang kita (kerajaan) lakukan sebesar ini. Ia (Fiesta NBOS Mesra Rakyat) dibawa ke Sembrong khususnya di Paloh, hari ini," katanya kepada pemberita selepas merasmikan fiesta berkenaan di Padang Awam Paloh, di sini hari ini.
Hadir sama, Ketua Setiausaha Perbendaharaan Tan Sri Dr Mohd Irwan Serigar Abdullah.
Hishammuddin yang juga anggota Parlimen Sembrong berkata usaha mewujudkan NBOS bukan mudah, namun, ia kini menjadi kenyataan sehingga dicontohi negara lain.
Hishammuddin berkata NBOS sekali gus membuktikan kerajaan membuat perancangan terhadap kebajikan rakyat walaupun berdepan pelbagai tuduhan pihak tertentu.
"Ini bermakna dalam keadaan pihak tertentu yang hanya fikir mereka dapat memecahbelahkan kita, walaupun kita jawab tuduhan itu, tetapi pada masa sama kita buat kerja dan perancangan untuk rakyat," katanya.
Menurut Hishammuddin, NBOS juga membuktikan kerajaan tidak boleh membangunkan negara secara bersendirian dan memerlukan kerjasama secara berpasukan.
"Ini bukan musim pilihan raya (penganjuran Fiesta NBOS Mesra Rakyat). Dengan mandat rakyat, kita boleh buat lebih daripada ini. Kalau rakyat percaya pada politik kebencian, berita palsu, saya bimbang apa yang dirancang, apa yang diiktiraf dunia ini (NBOS) tidak akan kesampaian," katanya.
Pada majlis berkenaan, Hishammuddin turut melancarkan lapan inisiatif baharu NBOS dengan sebahagian inisiatif itu turut melibatkan kerjasama antara kementerian dan agensi dengan Kementerian Pertahanan serta Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Inisiatif berkenaan adalah Inisiatif Kementerian Kewangan (Pusat Transformasi Komuniti Bergerak (Mobile) CTC, Coding @ Schools dan Strategic Linkages); Program Bantuan Mesra Rakyat Sembrong, My Kampung My Future - Kampung Sri Lukut, Program Jimat Belanja Dapur FAMA, Kerjasama Biotechnology Community Development Program dengan Perbadanan Hal Ehwal Bekas Angkatan Tentera (Perhebat), pengukuhan kerjasama antara 1M4U dengan Briged Sukarelawan Khidmat Negara, Program Remaja Sukarelawan 2.0 serta kerjasama 1 Malaysia Biodiversity Enforcement Operation Network (1MBEON) - Ops Samudera.
Fiesta NBOS Mesra Rakyat di Parlimen Sembrong di Paloh hari ini merupakan penganjuran ketiga selepas diadakan di Pekan, Pahang pada 23 Sept lepas dan Bagan Datuk, Perak pada 19 Nov lepas.
-- BERNAMA