BN Johor Sedang Sediakan Senarai Calon PRU14




JOHOR BAHRU, 12 Feb (Bernama) -- Barisan Nasional (BN) Johor kini dalam proses menyediakan senarai calonnya yang akan bertanding pada pilihan raya umum (PRU) ke-14.

Pengerusinya Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata ada antara parti komponen BN yang telahpun menyediakan senarai itu yang mungkin turut merangkumi muka baharu.

"Ada parti komponen yang mula menyenaraikan nama calon masing-masing namun keputusan akhir hanya akan dibuat oleh Pengerusi BN yang juga Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak," kata Menteri Besar Johor itu kepada pemberita selepas melawat tapak projek ekonomi rakyat Era Johor di Johor Raya, di sini hari ini.

Mohamed Khaled yang juga Pengerusi UMNO negeri turut mengingatkan bahawa senarai calon boleh berubah pada saat-saat akhir dan hanya diketahui sebelum hari penamaan.

Beliau ditanya mengenai proses penyenaraian calon BN Johor bagi menghadapi PRU akan datang.

Sementara itu, Mohamed Khaled berkata sebanyak RM650,000 diperuntukkan kerajaan negeri bagi menjayakan projek Era Johor.

"Seramai 193 peserta di 31 lokasi merangkumi 10 daerah di negeri ini telah dikenal pasti terlibat dalam projek Era Johor yang diketuai oleh Yayasan Pembangunan Keluarga Darul Takzim," kata beliau.

Menurutnya, program itu melibatkan empat bidang keusahawanan iaitu tanaman cili fertigasi, cendawan tiram kelabu, pembuatan ais krim dan penternakan lebah kelulut bagi menghasilkan madu.

Beliau berkata mereka yang terlibat dalam bidang keusahawanan secara berkumpulan itu juga mampu menjana pendapatan sampingan yang dilihat menepati ciri-ciri Muafakat Johor yang diperkenalkan kerajaan negeri.

Katanya projek Era Johor itu juga dapat membantu meningkatkan hasil golongan berpendapatan rendah melalui konsep keusahawan sosial.

-- BERNAMA