Selangor Digesa Perjelas Punca Projek Rumah Selangorku Dibatal

Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan Dan Kerajaan Tempatan Tan Sri Noh Omar (kanan) merangkap Pengerusi Barisan Nasional Negeri Selangor beramah mesra bersama penduduk tempatan selepas menyampaikan sumbangan Tahun Baru Cina di Kampung Pasir Penambang, hari ini.
KUALA SELANGOR, 12 Feb (Bernama) -- Kerajaan negeri Selangor digesa supaya berhenti berdolak-dalik dan menjelaskan segera kepada rakyat punca sebenar pembinaan sembilan projek Rumah Selangorku dibatalkan.
Pengerusi Barisan Nasional (BN) Selangor, Tan Sri Noh Omar berkata, setakat ini kenyataan berhubung pembatalan projek berkenaan adalah bercanggah antara Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan Dan Kehidupan Bandar, Datuk Iskandar A Samad dan Menteri Besar Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.
"Exco dalam kenyataannya berkata kelulusan projek itu dibatalkan kerana pemaju gagal mendapatkan Kebenaran Merancang dalam tempoh dua tahun daripada tarikh kelulusan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN).
"Menteri besar pula menyalahkan pemaju kerana mengutamakan projek perumahan kos sederhana dan mewah, jadi soalan saya apa sebenarnya punca pembatalan ini," katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan sumbangan sempena Tahun Baharu Cina di Bagan Pasir Penambang, di sini hari ini.
Pada Selasa lepas, Iskandar yang juga merupakan anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chempaka dilaporkan berkata, kerajaan negeri melalui Mesyuarat Jawatankuasa Induk Rumah Selangorku telah membatalkan sembilan projek rumah berkenaan yang diluluskan antara 2014 hingga 2016, setelah pemaju gagal mendapatkan kebenaran MMKN.
Projek berkenaan melibatkan tiga projek di Kajang, dua projek di Selayang dan masing-masing satu projek di Subang Jaya, Shah Alam, Ampang Jaya dan Klang.
Noh berkata pembatalan projek berkenaan menunjukkan kerajaan negeri pimpinan PKR hanya tahu memberi harapan sahaja kepada rakyat tapi tidak akan menjadikan ia kenyataan.
"Di sini rakyat boleh menilai janji PKR dan Pakatan Harapan dan janji BN, Projek Perumahan Rakyat yang dilaksanakan kerajaan persekutuan BN telah banyak disiapkan tanpa ada yang dibatal dan dijual pada harga yang murah.
"Dibandingkan dengan Rumah Selangorku yang mahal, dan ada yang dibatalkan, rakyat boleh menilai kerajaan mana yang lebih mengutamakan rakayat berpendapatan rendah dan sederhana, bagaimana pula dengan nasib mereka yang telah diluluskan pinjaman oleh pihak bank untuk membeli rumah ini tetapi projek itu dibatalkan, apakah tindakan kerajaan negeri," katanya.
Terdahulu, pada majlis itu, seramai 3,800 ketua rumah yang meraikan Tahun Baharu Cina menerima sumbangan berupa barangan dapur dan wang tunai.
Turut hadir anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Pasir Penambang, Datuk Sulaiman Abdul Razak.
-- BERNAMA