Kenang Sejarah Supaya Tidak Termakan Permainan Politik Pembangkang
Oleh Siti Salwa Shaari
KUANTAN, 12 Feb (Bernama) -- Saranan Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob baru-baru ini agar peneroka Felda kembali menyingkap sejarah pembukaan tanah rancangan wajar direnungkan khususnya oleh generasi kedua.
Mereka perlu sedar perjuangan yang dimulakan oleh Perdana Menteri kedua Tun Abdul Razak Hussein berjaya mengubah nasib ramai orang Melayu yang dahulunya tidak mempunyai sumber pendapatan dan kemudahan tempat tinggal, kepada hidup yang lebih baik sekarang.
Kini, amat sukar untuk melihat rumah asal - rumah kayu dua bilik - di tanah rancangan hasil pelbagai inisiatif yang dijalankan secara berterusan oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) dan usaha Abdul Razak itu disambung oleh anaknya Datuk Seri Najib selaku Perdana Menteri keenam yang pada masa sama mendepani pelbagai tohmahan pembangkang untuk menjatuhkan beliau dan kerajaan BN.
"Peneroka Felda kena sedar keputusan mereka boleh mencorakkan kepimpinan negara. Mereka perlu tahu bahawa perdana menteri tidak pernah meminggirkan golongan Felda, walaupun fitnah (terhadap Najib) semakin menjadi-jadi," kata Adnan kepada Bernama sebagai mengulas lanjut saranannya itu.
Adnan berkata walapun difitnah, perdana menteri kekal tegas membela nasib kira-kira 500,000 peneroka Felda dan pekebun kecil sawit yang bakal terjejas angkara tindakan diskriminasi Kesatuan Eropah yang mahu melaksanakan sekatan terhadap minyak sawit.
"Pendirian tegas perdana menteri dalam hal ini disuarakan pada pertemuan beliau dengan Menteri Pertahanan Perancis Florence Parly yang akhirnya negara itu beri jaminan tidak akan boikot minyak kelapa sawit kita yang akhirnya diikuti Belanda.
"Ini cara perdana menteri kerja untuk bantu, selamatkan rakyat. Tapi untuk kita boleh ada suara yang boleh didengari (oleh negara luar) penting untuk kita mempunyai sebuah kerajaan yang kuat," katanya yang ditemui selepas menyampaikan dividen kepada peserta Agro Politan Chemomoi, Pelangai, Bentong baru-baru ini.
Adnan turut mengulangi ingatannya bahawa memilih kerajaan tidak boleh dilakukan atas dasar eksperimen kerana impaknya adalah besar.
"Kita tidak kata kerajaan sedia ada tidak melakukan kesilapan, namun kita berusaha untuk membaiki diri... kita perlu ambil iktibar dari banyak negara yang bergolak selepas menukar kerajaan," katanya.
Adnan bagaimanapun tidak silu mengakui ada peneroka terpengaruh dengan dakyah pembangkang di sebalik pelbagai usaha dilakukan BN untuk menjaga kebajikan mereka termasuk melancarkan Felda 2.0 yang bertujuan menjadikan mereka komuniti pintar dan mampan.
Perkara sama juga dibangkitkan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang tidak menolak kemungkinan isu dalaman yang melanda Felda sekarang akan dijadikan modal politik oleh pembangkang pada pilihan raya umum ke-14.
Tanggapan Ismail Sabri itu ada asasnya kerana Pengerusi Pakatan Harapan Pahang Datuk Fauzi Abdul Rahman juga dilaporkan berkata pembangkang akan meletakkan calon wanita yang juga anak peneroka, untuk bertanding di kerusi Parlimen Rompin yang merangkumi banyak kawasan Felda, bagi mengambil hati peneroka.
Mengulas perkara itu, Ismail Sabri yang juga Anggota Parlimen Bera, berpandangan amat penting bagi BN dan UMNO khususnya terus berusaha keras menangani isu tersebut di samping mengambil hati peneroka sekalipun maklumat menyatakan peneroka Felda setia bersama BN.
Beliau juga berharap pengurusan Felda turun ke akar umbi bagi memberi penjelasan berhubung kontroversi yang melanda agensi berkenaan.
"Kita mahu supaya isu Felda ini dijawab sendiri oleh orang Felda yang lebih tahu tentang fakta sebenar apa yang berlaku. Perkara sebegini lebih baik diterangkan oleh mereka sendiri berbanding orang politik.
"Jika saya yang menerangkannya walaupun ada pengetahuan (tentangnya) masih ada yang akan memandang remeh kerana beranggapan itu hanya cakap politik walaupun niat sebenarnya adalah mahu memberi maklumat yang tepat," katanya.
-- BERNAMA