Kerajaan Yakin Golongan Belia TN50 Pilih Keusahawanan
DUNGUN, 13 Feb (Bernama) -- Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) melalui pelbagai agensi di bawahnya telah menyalurkan peruntukan sebanyak RM8.1 juta dalam bentuk geran yang memberi manfaat kepada 316 syarikat milik usahawan muda di Terengganu sejak 2014.
Timbalan Menterinya, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata pada tahun ini pula, kerajaan memperuntukkan geran perniagaan berjumlah RM2.1 juta melalui Program Tunas Usahawan Belia Bumiputera (Tube) yang akan memberi manfaat kepada 140 usahawan muda Bumiputera di Terengganu dan sebanyak RM30 juta kepada 2,000 usahawan muda seluruh negara.
"Kerajaan yakin usahawan muda generasi Transformasi Nasional (TN50) akan lebih berminat menjadikan keusahawanan sebagai sumber pendapatan utama mereka memandangkan kerajaan sentiasa memberi bantuan dari pelbagai aspek untuk menyokong perniagaan golongan itu.
"Hari ini, saya berkesempatan melawat dua kilang milik usahawan muda Bumiputera di Dungun, Terengganu yang menghasilkan makanan sejuk beku karipap dan ropa serta keropok lekor yang divariasikan dengan lima perisa.
"Kesungguhan mereka sangat mengagumkan kerana usahawan muda ini mempunyai kekuatan mental dan fizikal yang pasti mempunyai potensi cerah dalam perniagaan pada akan datang datang, ditambah pula sokongan padu oleh kerajaan.
"Bantuan diberi kepada usahawan belia tanpa ada had umur atau jantina...asalkan mereka bersungguh dan memberi komitmen tinggi, pasti akan dibantu mengikut kesesuaian yang disediakan agensi kerajaan seperti yang diterima dua usahawan di Dungun ini," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melawat kilang memproses makanan sejuk beku di pusat inkubator industri desa Pulau Serai di sini hari ini.
Turut hadir Pengarah SME Corp Terengganu, Muhammad Ibrahim dan Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Pembangunan Usahawan Terengganu, Rozali Salleh.
Sementara itu, Muhammad berkata Program Peningkatan PKS Bumiputera (Beep) dan Tunas Usahawan Belia Bumiputera yang diperkenalkan oleh SME Corp Malaysia banyak membantu melahirkan syarikat baharu dan memperkasakan sektor Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) terutama syarikat bersaiz mikro dan kecil untuk meningkatkan kapasiti pengeluaran syarikat dan menambah baik mutu produk serta perkhidmatan syarikat.
"Seramai 284 usahawan belia Terengganu sudahpun menyertai program ini dan berjaya memulakan perniagaan dengan nilai jualan tahunan dijana mencecah RM5.3 juta sejak program ini diperkenalkan pada tahun 2014.
"Kumpulan pertama di Terengganu yang membabitkan 114 peserta mencatatkan nilai jualan terkumpul sebanyak RM 3.2 juta sepanjang menjalankan perniagaan selama setahun.
"Kumpulan kedua pula iaitu TUBE 2.0 disertai seramai 50 orang peserta yang mendaftarkan pendaftaran perniagaan mereka dan telah merekodkan jualan sebanyak RM 1.7 juta bagi tahun 2016, manakala TUBE 3.0 mencatatkan jualan sebanyak RM0.5 juta," katanya.
-- BERNAMA