MTEM: Keyakinan Rakyat Meningkat Pada Suku Pertama 2018
KUALA LUMPUR, 14 Feb (Bernama) -- Skor keyakinan rakyat dijangka meningkat dalam tempoh tiga bulan pertama 2018, disokong oleh polisi dan urus tadbir ekonomi negara yang kukuh, kata Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM) hari ini.
Namun begitu, Ketua Pegawai Eksekutif MTEM Ahmad Yazid Othman berkata kerajaan perlu mengambil tindakan proaktif untuk terus meningkatkan keyakinan rakyat terhadap ekonomi melalui lima langkah drastik yang dicadangkan organisasi berkenaan.
"Antaranya, memastikan lebih banyak peluang pekerjaan," katanya kepada pemberita semasa membentangkan skor keyakinan ekonomi bagi suku keempat 2017.
Beliau berkata selain itu kerajaan disaran menetapkan satu piawaian untuk sektor pekerjaan terpilih seperti yang disyaratkan untuk peguam dan doktor.
"Ini, secara tidak langsung, akan meningkatkan kualiti, produktiviti dan pendapatan," kata Ahmad Yazid.
Kajian keyakinan rakyat ini yang dijalankan dengan kerjasama MTEM dan KajiData Reserach Sdn Bhd pada 22 Disember sehingga 31 Disember, 2017 melibatkan 1,379 responden, dengan skor sebanyak 28.6 mata.
Hasil indeks skor keseluruhan dijangka meningkat 2.6 mata untuk suku pertama 2018.
-- BERNAMA