Rakyat Nikmati Perubahan Gelombang Transformasi Digital Malaysia
Oleh Niam Seet Wei
KUALA LUMPUR, 14 Feb (Bernama) -- Kalangan perniagaan dan pengguna Malaysia semakin menerima idea perubahan dan memanfaatkan impak gelombang transformasi digital yang menyaksikan elemen seperti 'Internet-of-Things' atau komunikasi antara peranti elektronik, menjadi antara topik hangat yang dibincangkan.
Seiring ledakan pertumbuhan platform pasaran e-dagang di Malaysia seperti Zalora and Lazada yang turut menular ke media sosial seperti facebook, perkembangan teknologi ini seakan tiada pasang surutnya bukan sahaja dalam industri runcit malah keseluruhan ekosistem serta gaya hidup masyarakat.
Statistik Bank Negara Malaysia menunjukkan sejumlah 25.2 juta pelanggan perbankan internet bagi tempoh Januari hingga November 2017 di negara ini, iaitu meningkat daripada 22.8 juta pada 2016.
Bagi perbankan mudah alih pula, angkanya melonjak kepada 11.26 juta pengguna bagi tempoh 11 bulan pertama 2017 berbanding 8.94 juta orang pada 2016.
Mengulas perkembangan itu, Pengarah Eksekutif iPay88 Holding Sdn Bhd, Chan Kok Long berkata sektor e-dagang itu dijangka meningkat berikutan kadar penembusan internet dan perbankan mudah alih yang lebih tinggi selain kewujudan kemudahan seperti e-dompet juga secara mudah alih.
"Pada masa ini, hampir semua orang memiliki peranti pintar dan apa juga laman sesawang yang anda layari, pasti akan ada pelbagai jenis iklan. Pada akhirnya, pengguna internet akan memanfaatkan kemudahan itu untuk membeli-belah secara dalam talian," katanya dalam temu bual dengan Bernama, baru-baru ini.
"Mengulas lanjut, Chan berkata, bukanlah sesuatu yang janggal apabila kalangan 'pakcik dan makcik' di kawasan luar bandar turut membuat pembelian dalam talian berikutan kemudahan itu.
Sambil menyifatkan aktiviti beli-belah dalam talian sebagai tidak lagi asing dalam kalangan rakyat tempatan, beliau berkata ia turut menjadi sebahagian daripada kehidupan seharian orang ramai.
"Statistik iPay88 menunjukkan sejak suku kedua 2016, e-dagang yang bersifat mudah alih itu menjadi semakin ketara dan mula mengambil alih peranan e-dagang secara statik atau daripada komputer meja.
"Sistem kami mencatat rekod trafik internet tertinggi sebanyak 9.3 juta membabitkan pembelian mudah alih pada suku keempat 2017 iaitu tiga kali lebih ketara berbanding penggunaan komputer meja," katanya.
Merujuk laporan comScore bagi 2017, Chan berkata sebahagian besar pengguna digital Malaysia yang berusia 15-24 tahun, melayari internet secara mudah alih manakala mereka yang berusia 24-35 tahun lebih bersifat pengguna pelbagai platform.
Salah seorang daripada mereka, Michelle Low, 34, mengakui memanfaatkan pengalaman beli-belah dalam talian sejak menjadi penuntut di sebuah universiti China apabila menjadikannya sebagai peluang bagi membuka perniagaan baharu.
"Saya mengikuti pengajian di China kira-kira 10 tahun lepas dan sudah terbiasa dengan budaya beli-belah dalam talian ini.
"Berikutan sudah terlalu biasa membeli-belah barangan dari Taobao (platform beli-belah dalam talian terbesar di China), saya tetap meneruskan aktiviti itu walaupun selepas tamat pengajian dan kembali ke Malaysia," katanya.
Sebagai pembeli tegar Taobao selama bertahun-tahun di Malaysia, Low yang juga bekas wartawan di sebuah harian Cina tempatan, tidak hanya berupaya menimba \'ilmu\' dengan mengenali premis yang menawarkan harga dan kualiti produk terbaik, tetapi juga aspek penghantaran produk dari China.
"Saya membuka kedai dalam talian pertama dengan menjual barangan rumah menerusi Taobao kira-kira lapan tahun lalu dan mampu meraih lebih RM30,000 dalam bulan pertama.
"Pada Januari lepas, saya membuka dua lagi kedai tambahan dalam platform e-dagang Lazada dan Shopee dengan menjual barangan sama untuk menampung peningkatan permintaan di pasaran," katanya.
Sementara itu, Diana Azmi, 30, pula memilih untuk membeli-belah dalam talian berbanding kaedah konvensional sejak empat tahun lepas dan menyifatkan pengalaman itu lebih menarik dan mudah menerusi internet.
"Hampir semua benda saya beli dalam talian - daripada keperluan harian seperti pakaian dan produk kecantikan sehinggalah makanan dan makanan tambahan. Saya juga membuat belian barangan runcit dalam talian," katanya.
Enggan sekadar bergelar pembeli dalam talian, Diana mengorak langkah memulakan perniagaan e-dagangnya sendiri pada Februari 2017 dengan menjual pakaian anak-anak.
"Walaupun ini cuma (pekerjaan) separuh masa, saya mampu menjana jualan RM3,000 hingga RM4,000 sebulan daripada perniagaan ini, terutamanya ketika musim perayaan seperti Hari Raya dan Krismas," katanya.
Malah, jika perniagaannya itu terus berkembang, Diana juga bersedia untuk melepaskan jawatan tetapnya sebagai kerani untuk menyertai perniagaan itu secara sepenuh masa.
"Saya yakin sebarang usaha meningkatkan kemudahan internet seperti perkhidmatan jalur lebar berkelajuan tinggi yang disediakan di negara ini, akan menggalakkan lebih ramai orang membeli-belah secara dalam talian. Ini pasti membantu mengembangkan lagi perniagaan saya," katanya.
Kerajaan turut menggariskan beberapa inisiatif bagi meningkatkan kelajuan internet dan jalur lebar dalam Bajet 2017 yang diteruskan dalam Bajet 2018 menerusi peruntukan sejumlah RM1 bilion kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia bagi membangunkan kemudahan infrastruktur komunikasi dan jalur lebar di Sabah dan Sarawak.
-- BERNAMA