MCA Akan Terus Memperjuang Kepentingan Masyarakat Cina - Liow





KUALA LUMPUR, 14 Feb (Bernama) -- MCA telah dan akan terus memperjuangkan kepentingan masyarakat Cina, kata Presidennya Datuk Seri Liow Tiong Lai.

Beliau berkata, parti itu tidak henti-henti dalam usaha untuk memberi bantuan dan sokongan, baik dari segi akses mahupun pendikan berkualiti, menggiatkan semula kampung-kampung baharu atau mmenggalakkan perniagaan untuk berkembang.

"Di pentas antarabangsa, MCA berbangga memainkan peranan penting dalam mengukuhkan hubungan diplomatik dengan China memandangkan Malaysia berpotensi mendapat banyak manfaat daripada inisiatif "Satu Jalur, Satu Laluan"," katanya dalam perutusan sempena Tahun Baharu Cina hari ini.

Liow, yang juga Menteri Pengangkutan, berkata 2018 merupakan tahun penting bagi rakyat Malaysia dan MCA berharap untuk terus mewakili dan berkhidmat kepada komuniti Cina dalam kerajaan.

"Kami teguh dalam dedikasi ke arah memenuhi tanggungjawab kami. Sebagai sebuah parti yang dibina atas nilai-nilai kesederhanaan, penerimaan, saling kerjasama dan kemajuan, kami percaya kami dapat terus melaksanakan peranan untuk negara dan rakyat," kata beliau.

Presiden MCA itu berkata 2018 pastinya membentuk sebuah negara yang makmur bagi rakyat dan seperti biasa, kerajaan Barisan Nasional (BN) memberi tumpuan bagi memenuhi keperluan dan kebajikan rakyat Malaysia.

Yang paling utama, pengurangan cukai pendapatan dalam Bajet 2018 membolehkan isi rumah mempunyai pendapatan lebihan dan kuasa membeli yang lebih baik, katanya.

"Ketika kita meraikan dan menyambut tahun baharu, saya berharap semoga semua rakyat Malaysia berada dalam keadaan kesihatan yang baik selain mengekalkan keharmonian, kemakmuran dan mencapai kejayaan dalam semua usaha yang dijalankan.

"Ini benar-benar saat menggembirakan yang menjanjikan peluang-peluang dan permulaan yang baharu serta kesempatan untuk kita semua sekali lagi tampil bersama demi mewujudkan masa depan yang cerah untuk negara kita.

Liow berkata tahun yang lalu melakar transformasi untuk Malaysia dengan ekonomi domestik terus berkembang pada kadar stabil sementara pengukuhan nilai ringgit akan menghasilkan sentimen yang lebih baik bagi pelabur.

"Melalui pelbagai projek pembinaan yang sedang dijalankan termasuk menaik taraf infrastruktur pengangkutan, kita berada di landasan yang betul untuk menjadi negara maju di pentas global," kata beliau.

-- BERNAMA