Ekonomi Malaysia Dijangka Kekalkan Pertumbuhan 5 Peratus Tahun Ini
Oleh Mohd Khairi Idham Amran, Sharifah Pirdaus Syed Ali, Harizah Hanim Mohamed KUALA LUMPUR, 14 Feb (Bernama) -- Selepas mencatatkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) lebih tinggi daripada jangkaan, sebanyak 5.9 peratus pada 2017, ekonomi Malaysia dijangka mengekalkan pertumbuhan sebanyak lima peratus tahun ini dipacu oleh eksport.
Ketua Ekonomi ASEAN, Institut Penyelidikan RHB, Peck Boon Soon, berkata sebagaimana 2017 yang mana lonjakan eksport merangsang pertumbuhan ekonomi, kekuatan pertumbuhan negara bagi 2018 dijangka kekal didorong oleh eksport.
"Untuk itu, kita akan terus melihat pertumbuhan berdasarkan eksport memberikan kesan limpahan terhadap permintaan dalam negara,"katanya kepada Bernama.
Bagaimanapun, katanya, permintaan lembab, dari China disebabkan jangkaan pertumbuhan ekonomi yang sederhana bagi 2018, mungkin boleh menjejaskan eksport Malaysia dan pertumbuhan KDNK.
"Begitu juga, jika perlindungan dagangan terus mengukuh dan semakin buruk, ia mungkin menimbulkan kesan kepada perdagangan dunia dan juga pertumbuhan Malaysia,"katanya.
Katanya, jika eksport negara terus baik tahun ini, ia dijangka menjana kesan positif kepada lebihan akaun semasa yang akan seterusnya menyediakan asas sokongan kepada ringgit.
Katanya, kos sara hidup dijangka kekal tinggi tahun ini kerana inflasi diramalkan berada pada purata kira-kira tiga peratus pada 2018, berbanding 3.7 peratus pada 2017.
"Dengan pertumbuhan ekonomi dijangka kekal pada kira-kira lima peratus pada 2018, diharap ia dapat memperbaiki kadar pendapatan rakyat dan mengurangkan kesan kos sara hidup yang tinggi,"katanya.
Bank Negara Malaysia hari ini mengumumkan KDNK negara bagi suku keempat yang menyaksikan ekonomi Malaysia merekodkan pertumbuhan 5.9 peratus berbanding 4.5 peratus tahun ke tahun dan 6.2 peratus suku tahun ke suku tahun, disokong oleh perbelanjaan sektor swasta, yang terus menjadi pemacu utama pertumbuhan.
Bagi keseluruhan tahun, ekonomi negara mencatatkan pertumbuhan kukuh sebanyak 5.9 peratus berbanding 4.2 peratus pada 2016.
Mengenai pertumbuhan KDNK, Peck berkata, Malaysia merekodkan pertumbuhan paling tinggi dalam tempoh tiga tahun hasil lonjakan eksport dan limpahan ke dalam permintaan domestik.
Katanya, eksport sebenar meningkat hampir 10 peratus pada 2017 selepas mengembang hanya 1.1 peratus pada 2016 manakala permintaan dalam negara tumbuh 6.5 peratus pada 2017, meningkat dari 4.3 peratus pada tahun sebelumnya, disokong oleh penggunaan swasta yang kukuh dan pelaburan serta pemulihan dalam penggunaan awam.
Berbanding lima ekonomi ASEAN, pertumbuhan ekonomi Malaysia adalah kedua paling tinggi selepas Filipina (6.7 peratus) dan lebih baik dari segi pertumbuhan berbanding Singapura (3.6 peratus), Indonesia (5.07 peratus) dan Thailand, katanya.
Angka prestasi ekonomi Thailand dijangka dikeluarkan pada 19 Feb, tetapi bank pusat Thailand menganggarkan KDNK negara berkenaan berkembang antara 3.8 dan 4 peratus pada 2017.
Ketua Ekonomi MIDF Amanah Investment Bank Bhd, Dr Kamarudin Mohd Nor, berkata pertumbuhan ekonomi Malaysia untuk 2017, yang melebihi jangkaan pasaran, iaitu sebanyak 5.8 peratus, dijangka sederhana tahun ini iaitu 5.5 peratus kerana pakar ekonomi percaya agak sukar untuk mengatasi prestasi dagangan 2017, yang mencatat rekod tertinggi dalam tempoh 13 tahun.
"Agak sukar untuk mengatasi prestasi 2017 disebabkan oleh kesan asas yang tinggi selain 2017 adalah tahun yang baik untuk eksport, sebagai contoh, ia berkembang 18.9 peratus, paling tinggi sejak 2005,"katanya.
Katanya, sektor domestik memainkan peranan penting dalam menyokong pertumbuhan dan prestasi dagangan luar yang kukuh pada 2017 yang turut memberikan sumbangan positif kepada pertumbuhan KDNK.
Seorang lagi pakar ekonomi berkata, polisi perlindungan dagangan di AS tidak mungkin memberikan kesan besar kepada ekonomi negara tetapi usul larangan terhadap penggunaan minyak sawit dalam biofuel oleh Kesatuan Eropah (EU) boleh memberi kesan buruk kepada pertumbuhan ekonomi Malaysia bagi 2018.
"Malaysia bernasib baik kerana mempunyai rakan dagangan yang pelbagai dan ekonomi negara tidak mungkin menerima kesan besar daripada larangan EU itu,? katanya.
Beliau juga menjangka dagangan ringgit akan berada antara paras RM3.95-4.00 berbanding dolar AS pada suku kedua dan ketiga tahun ini disokong oleh pemulihan dolar AS.
"Disebalik pengukuhan ringgit berbanding dolar AS, perlu diberi pehatian bahawa prestasi itu kebanyakannya disumbang oleh penyusutan nilai dolar AS itu sendiri berbanding peningkatan ringgit semata-mata,"katanya.
Pada masa hadapan, katanya, ringgit dijangka terus meningkat jika dolar AS berterusan lemah dan harga minyak berada dalam aliran tinggi.
"Bagaimanapun, buat masa ini saya menjangka minyak mentah Brent didagangkan antara US$65-70 setong manakala dolar AS mungkin melantun semula akhirnya disebabkan jangkaan peningkatan inflasi di AS,"katanya.
-- BERNAMA