Mersing 'Simpanan Tetap' BN - MB Johor




JOHOR BAHRU, 15 Feb (Bernama) -- Barisan Nasional (BN) Johor yakin mampu mengekalkan kerusi Parlimen Mersing dan dua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Endau dan Tenggaroh pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

Pengerusi BN Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata Mersing merupakan kawasan 'simpanan tetap' BN di negeri ini dan percaya pemimpin di kawasan itu sentiasa memastikan jentera pilihan raya bergerak secara teratur seperti dirancang.

"Mersing boleh dianggap antara sebagai kawasan 'simpanan tetap' BN dan saya percaya ketua bahagian dapat melakukan dan mengekalkannya untuk BN," katanya kepada pemberita ketika diminta mengulas persiapan jentera BN di Mersing bagi menghadapi PRU14.

Terdahulu beliau menghadiri majlis penyerahan surat tawaran projek perumahan penempatan semula mangsa banjir dan setinggan Kampung Tanjung dan Jalan Bulang ke Kampung Londang Batu, di Endau, di sini hari ini.

Pada PRU13, BN memenangi kerusi Parlimen Mersing menerusi Datuk Abd Latiff Ahmad dengan majoriti 15,747 undi, kerusi DUN Endau dimenangi Datuk Abd Latif Bandi dengan majoriti 3,110 undi manakala DUN Tenggaroh dimenangi K.Raven Kumar dengan majoriti 13,014 undi.

Mohamed Khaled berkata BN Johor sedang merangka manifesto PRU14 dengan menumpukan pelbagai agenda pembangunan kepada rakyat terutamanya agenda perumahan.

"Ya (bagi perumahan), kita janji mahu siapkan 100,000 unit Rumah Mampu Milik Johor (RMMJ) menjelang tahun 2023," katanya.

Sementara itu, Mohamed Khaled yang juga Menteri Besar Johor itu berkata projek perumahan penempatan semula mangsa banjir dan setinggan Kampung Tanjung dan Jalan Bulang ke Kampung Londang Batu di tanah milik kerajaan seluas 3.68 hektar itu melibatkan seramai 156 keluarga.

Katanya projek perumahan penempatan semula tersebut yang bermula pada 2016 merupakan komitmen Johor Corporation (JCorp) menerusi anak syarikatnya, Johor Land (JLand) dengan kos RM27.4 juta dalam menzahirkan inisiatif kerajaan negeri menyelesaikan masalah banjir dan isu perumahan, katanya.

"Kerajaan negeri telah memberi subsidi sebanyak RM20 juta untuk projek perumahan ini dan dijangkakan rumah ini boleh diduduki dalam masa dua bulan lagi," katanya dan menurutnya kebanyakan keluarga terlibat merupakan golongan nelayan.

Pada majlis itu, Kampung Londang Batu turut diumum ditukar nama sebagai Taman Dato' Ajib bersempena nama bekas Menteri Besar Johor Allahyarham Datuk Abdul Ajib Ahmad yang menjawat jawatan itu bermula April 1982 hingga Ogos 1986.

-- BERNAMA