UMNO Baling Atasi Sasaran KPI Manifesto Pilihan Raya Umum Lepas
BALING, 15 Feb (Bernama) -- UMNO Baling berjaya merealisasikan tiga manifesto utama yang dijanjikan ketika kempen pilihan raya umum lalu, sekali gus membuktikan kepimpinan parti itu dalam berkhidmat kepada rakyat.
Ketuanya yang juga Anggota Parlimen kawasan itu Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim berkata tiga projek utama tersebut ialah pembinaan Hospital Pakar Baling, pembinaan masjid daerah dan UiTM Kampus Baling.
Di samping itu, UMNO Baling katanya juga berjaya melaksanakan 13 projek pembangunan lain, sekali gus mengatasi sasaran sebenar Petunjuk Prestasi Utama yang ditetapkan bagi manifesto parti.
"Kita janji tiga sahaja tetapi sepanjang lima tahun menjaga Baling, kita berjaya melaksanakan 13 (projek) pembangunan yang sebelum ini langsung tidak pernah dibincangkan," katanya.
Beliau berkata antara projek tersebut ialah membuka kawasan industri di Tawar dan menaik taraf Kolej Universiti Islam Insaniah kepada Universiti Antarabangsa Sultan Abdul Halim Mua'dzam Shah.
"Memang ada yang makan masa bertahun untuk mendapat dana dan disiapkan tetapi, projek itu tetap dilaksanakan memandangkan ia menjadi keperluan penduduk dari semasa ke semasa," katanya kepada pemberita selepas menyerahkan Bantuan Peralatan Kecil Pertanian di sini hari ini.
Pada majlis itu, 62 penerima mendapat bantuan seperti pam air, gergaji berantai, mesin jahit serta mesin tebu.
-- BERNAMA