Kemampuan BN Tadbir Negara Lonjak Sentimen Masyarakat Cina - Liow




Datuk Seri Liow Tiong Lai (Gambar fail Bernama)

KUALA LUMPUR, 16 Feb (Bernama) -- Kemampuan kerajaan di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak membangun dan melonjakkan ekonomi negara telah meningkatkan sentimen positif dalam kalangan masyarakat Cina terhadap Barisan Nasional (BN).

Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata masyarakat Cina dapat melihat bagaimana kerajaan BN berjaya melaksanakan pelbagai pembangunan yang dijanjikan, dan ia terus terbukti apabila ekonomi Malaysia berkembang 5.9 peratus tahun lalu.

"Masyarakat Cina dapat melihat bagaimana perancangan kerajaan di bawah pimpinan perdana menteri merangka pembangunan dan berjaya melaksanakannya dan mereka juga dapat melihat bagaimana pembangkang tidak dapat melaksanakan janji-janji yang pernah dibuat sebelum ini.

"Jadi saya yakin masyarakat Cina akan terus memberi sokongan kepada kerajaan sedia ada kerana mereka sedar mengenai kepentingan mempunyai sebuah kerajaan yang kuat dan stabil untuk melaksanakan pelbagai pembangunan lagi," katanya ketika dihubungi Bernama.

Liow, yang juga Menteri Pengangkutan sebelum itu menjadi hos majlis rumah terbuka Tahun Baharu Cina anjuran MCA yang dihadiri Najib sebelum mereka berdua menghadiri rumah terbuka Tahun Baharu Cina anjuran Gerakan.

Liow seterusnya berkata perdana menteri telah meletakkan asas kukuh untuk merangsang ekonomi negara antaranya mentransformasi ibu negara melalui inisiatif di bawah Greater Kuala Lumpur yang menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi negara.

Dengan pelbagai dasar dan perancangan yang telah dirangka, beliau yakin pertumbuhan ekonomi yang lebih baik mampu dicapai tahun ini.

Beliau berharap rakyat keseluruhannya dapat menilai keadaan semasa negara hari ini dan semua kejayaan yang dicapai di bawah BN dan memberikan kemenangan lebih besar kepada parti itu dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) akan datang.

"Kerajaan mempunyai rangka tindakan yang kukuh untuk membangunkan negara di bawah kepimpinan perdana menteri dan rakyat perlu menolak pembangkang yang terus bermain politik retorik dan kebencian berbanding BN yang mengamalkan politik membina," katanya.

Dalam pada itu, Liow berkata sambutan Tahun Baharu Cina dapat menonjolkan kepada negara luar mengenai perpaduan dan keharmonian yang dinikmati rakyat negara ini.

"Nilai-nilai murni dalam sambutan Tahun Baharu Cina di negara ini juga boleh menjadi sebagai model negara contoh kepada negara luar dan menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara contoh dalam memelihara perpaduan dan keharmonian semua kaum," katanya.

Beliau merakamkan penghargaan kepada perdana menteri dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi serta semua tetamu lain yang menghadiri majlis rumah terbuka sambutan Tahun Baharu Cina anjuran MCA yang diadakan di Wisma MCA hari ini.

-- BERNAMA