Aktiviti Turun Padang Pemimpin UMNO Dekati Rakyat Tidak Bermusim
KINABATANGAN, 17 Feb (Bernama) -- Aktiviti turun padang oleh pemimpin UMNO adalah amalan yang berterusan dan tidak dilakukan secara bermusim bagi memastikan rakyat menerima perkhidmatan terbaik, terutama dalam menyelesaikan sebarang permasalahan.
Justeru kata Ketua UMNO Kinabatangan Datuk Seri Bung Moktar Radin, tidak timbul isu pemimpin hanya muncul mendekati rakyat ketika musim pilihan raya.
"Pemimpin UMNO turun padang dan bekerja dengan sepakat dengan melakukan perbincangan dengan rakyat sekiranya mendapati wujud satu-satu permasalahan di kawasan," katanya pada Majlis Kenduri Sekampung, Solat Hajat dan Perasmian Dewan Datuk Pangiran Galpam di Kampung Lanut Suan Lamba dekat sini, hari ini.
Bung Moktar yang juga Anggota Parlimen Kinabatangan, berkata pemimpin dan rakyat perlu mempunyai kesepakatan yang erat malah setiap permasalahan yang wujud dibincang bersama agar setiap pembangunan yang diperlukan dapat disalurkan kepada rakyat.
Menurutnya kawasan Parlimen Kinabatangan yang merangkumi 27 pulau dan Sungai Kinabatangan sepanjang 570 kilometer menjadikan kawasan itu lebih besar daripada Pahang, negeri terbesar di Semenanjung, sekali gus menyukarkan kerajaan untuk menyalurkan pembangunan secara serta-merta.
Bagaimanapun, katanya kerajaan tetap berusaha memberikan pembangunan demi kesejahteraan rakyat dan rakyat pula harus faham bahawa pemimpin sentiasa bekerja untuk mengenal pasti setiap keperluan mereka.
Katanya keperluan dan pembangunan diperlukan rakyat itu akan disalurkan mengikut keutamaan dan keperluan mendesak.
Dalam pada itu, Bung Moktar yang juga Pengerusi Felcra Berhad berkata agensi berkenaan bersetuju membantu meningkatkan ekonomi penduduk dengan pemberian dana pembinaan rumah burung walet di Kampung Lanut Suan Lamba, Bilit dan Sukau.
Sebanyak RM150,000 akan disalurkan kepada sebuah koperasi untuk membina rumah burung walet di kampung berkenaan, katanya.
-- BERNAMA