K'jaan BN Sentiasa Turun Padang, Tidak Tunggu Rakyat Minta Bantuan




KUALA PERLIS, 17 Feb (Bernama) -- Kerajaan Barisan Nasional (BN) sentiasa turun padang bagi mengenal pasti golongan rakyat yang memerlukan dan tidak hanya menunggu mereka tampil untuk meminta bantuan.

Menteri Besar Perlis Datuk Seri Azlan Man berkata walaupun bantuan boleh dipohon melalui pengerusi jawatankuasa kemajuan dan keselamatan kampung (JKKK), pusat khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) atau terus ke pejabat menteri besar, pihaknya sendiri sering mengadakan ziarah ke kawasan-kawasan tertentu untuk meninjau keadaan rakyat.

"Melalui program ziarah, kita kenal pasti rakyat yang perlukan bantuan, kita tengok kediaman mereka sama ada perlu dibaiki atau membina rumah baharu sekalipun kerajaan akan bantu," katanya kepada Bernama semasa mengadakan ziarah di DUN Kuala Perlis di sini, hari ini.

Katanya peruntukan untuk membantu rakyat sentiasa ditambah setiap tahun kerana kerajaan BN prihatin dan faham bahawa ramai rakyat yang memerlukan bantuan.

"Kerajaan negeri tidak menetapkan sebarang sasaran sebaliknya sesiapa yang memerlukan bantuan, kerajaan negeri akan bantu meringankan beban mereka," katanya.

Pada lawatan hari ini, beliau menyampaikan sumbangan keperluan harian kepada warga emas Hambiah Desa, 72, serta Abdullah Nayan, 56 di Kampung Seberang Jaya di sini, yang kediaman mereka dikenal pasti untuk dibaiki kerana agak uzur.

-- BERNAMA