Naib Pengerusi Wanita MCA Angkat Sumpah Senator




KUALA LUMPUR, 19 Feb (Bernama) -- Naib Pengerusi Wanita MCA Datuk Ong Chong Swen hari ini mengangkat sumpah sebagai senator bagi tempoh tiga tahun di Dewan Negara, di sini.

Beliau yang dilantik buat pertama kali, mengangkat sumpah di hadapan Yang Dipertua Dewan Negara Tan Sri S. A. Vigneswaran.

Ong, 68, yang dilahirkan di Kota Bharu, Kelantan berkelulusan Sarjana Muda Sastera, Universiti Malaya dan terlibat dalam bidang politik sejak 1998.

Ketika ditemui pemberita selepas upacara itu, Ong berkata pelantikan tersebut memberi peluang kepadanya untuk mengangkat isu perpaduan dalam kalangan rakyat tanpa mengira bangsa dan agama.

"Saya berpendapat nilai perpaduan seperti kejujuran, kesetiaan yang diamalkan generasi terdahulu perlu dikembalikan dalam masyarakat hari ini dan kita tidak harus dipisahkan dengan komen negatif yang boleh menyebabkan setiap kita terasa hati," katanya.

-- BERNAMA