MIC Harap Tiada Perubahan Pada Senarai Calon PRU14
KUALA LUMPUR, 19 Feb (Bernama) -- MIC sudah menyerahkan senarai muktamad nama calon yang akan bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) akan datang kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, selaku Pengerusi Barisan Nasional (BN).
Presidennya, Datuk Seri Dr S. Subramaniam berkata senarai calon yang terdiri daripada 60 peratus muka baharu itu telah diserahkan kepada perdana menteri dua minggu lepas untuk proses saringan.
"Saya harap tidak ada perubahan kepada senarai calon," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) parti itu, di sini hari ini.
Dr Subramaniam, yang juga Menteri Kesihatan, menegaskan bahawa parti itu akan mempertahankan kerusi Parlimen Cameron Highlands yang sebelum ini dikatakan menjadi kerusi tumpuan Presiden MyPPP, Tan Sri M. Kayveas.
Pada PRU13 pada 2013, MIC menang empat daripada sembilan kerusi Parlimen dan lima daripada 18 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang ditandingi oleh parti kaum India itu.
-- BERNAMA