TPM Nasihat BN Sabah Fahami Prosedur Hadapi PRU14




Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bersama Ketua Menteri Sabah Tan Sri Musa Aman (empat, kanan) bersama para pemimpin parti Barisan Nasional (BN) Sabah pada majlis Perjumpaan dan Makan Malam bersama para pemimpin BN Sabah hari ini.

KOTA KINABALU, 19 Feb (Bernama) -- Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menasihatkan Barisan Nasional (BN) Sabah supaya memastikan segala prosedur bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) difahami.

Pengarah Komunikasi Strategik BN Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan berkata Ahmad Zahid menyatakan BN perlu realistik dan perlu memantapkan kesetiakawanan bagi memenangi PRU14.

"Kita perlu realistik. Siapa berhasrat mahu jadi calon, mesti ada kredibiliti dan sokongan padu rakyat, tidak kira dia penyandang atau tidak.

"Tetapi ini juga untuk semua negeri di Malaysia, bukan sahaja di Sabah," katanya ketika ditemui pemberita selepas mesyuarat BN Sabah yang dipengerusikan Ahmad Zahid di sini malam ini.

Turut hadir Ketua Menteri Sabah Tan Sri Musa Aman.

Abdul Rahman juga memberitahu BN sentiasa teliti dalam setiap langkah sebagai persediaan menghadapi PRU akan datang.

-- BERNAMA