Polis Johor Diberi Taklimat, Latihan Hadapi PRU14
JOHOR BAHRU, 20 Feb (Bernama) -- Sebanyak 6,348 anggota dan pegawai Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor telah diberi penerangan, perancangan, taklimat dan latihan bagi memastikan kelancaran pilihan raya umum ke-14 (PRU14) nanti.
Ketua Polis Johor Datuk Mohd Khalil Kader Mohd berkata dengan perancangan teliti dibuat oleh jawatankuasa pengendalian PRU di Johor dan komitmen diberikan oleh ketua jabatan dan ketua polis daerah, anggota dan pegawai terbabit diyakini mampu menjaga keselamatan dan ketenteraman sepanjang proses PRU14.
Kekurangan sebanyak 1,200 anggota dan pegawai untuk mengendalikan PRU14 akan ditampung pasukan sukarelawan simpanan polis (PVR) serta bantuan daripada Bukit Aman, katanya kepada pemberita selepas Majlis Perhimpunan Bulanan IPK Johor di sini, hari ini.
Sementara itu, Polis Johor akan menghantar seramai 22 atlet untuk menyertai Kejohanan Karate Ketua Polis Negara 2018 di Kompleks Sukan Setiawangsa, Kuala Lumpur pada 23 hingga 26 Feb ini.
Pengurus Pasukan Insp Misran Osman berkata pihaknya mengambil pendekatan untuk menghantar atlet pelapis berumur lingkungan 20-an bagi membawa cabaran pada kejohanan kali ini, dengan ditemani oleh pemain senior sebagai pembantu dalam mempersiapkan pasukan.
"Sebanyak 12 acara bagi kategori lelaki dan 10 acara bagi kategori wanita akan dipertandingkan dalam kejohanan tersebut dan 22 wakil ini bakal mengambil bahagian dalam kesemua kategori yang dipertandingkan," katanya.
-- BERNAMA