Persempadanan Semula Pastikan Wakil Rakyat Berkhidmat Lebih Efektif
MELAKA, 20 Feb (Bernama) -- Persempadanan semula kawasan pilihan raya di negeri ini membolehkan seseorang wakil rakyat berkhidmat dan menjalankan tugas serta tanggungjawab dengan lebih efektif, kata Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Idris Haron.
Beliau berkata langkah itu bagi memberi peluang dan ruang kepada pemimpin masyarakat itu untuk menyalurkan perkhidmatan yang diamanahkan secara menyeluruh sekali gus meningkatkan sokongan dan kepercayaan pengundi terhadap wakil yang dipilih.
"Contohnya Dewan Undangan Negeri (DUN) Paya Rumput telah mencecah sehingga 31,000 pengundi yang saya kira kawasan tersebut layak untuk persempadanan semula. Jadi, (sekiranya tiada persempadanan semula) bagaimana wakil rakyat di kawasan terbabit dapat berkhidmat dengan baik ?
"Saya melihat sekurang-kurangnya Melaka memerlukan 10 kawasan Parlimen dan 40 DUN, itu kadar optimum dalam usaha menyalurkan perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat," katanya.kepada pemberita selepas majlis penyerahan watikah dan ramah mesra bersama kira-kira 400 penjawat awam di sini hari ini.
Melaka kini mempunyai enam kawasan Parlimen dan 28 DUN.
Sementara itu, Idris menegaskan amat penting untuk Barisan Nasional (BN) merampas kembali Parlimen Bukit Katil pada pilihan raya umum ke-14 nanti bagi memastikan rakyat di kawasan itu dibela sebaiknya.
"Berilah peluang kepada parti komponen BN yang berkhidmat kepada rakyat tanpa mengira musim.
"Sepatutnya orang (daripada BN) yang bekerja bersungguh-sungguh inilah yang wajar mendapat tempat dan diberi peluang untuk mewakili rakyat," katanya.
-- BERNAMA