Rakyat Diminta Terus Beri Mandat Kepada BN
KUBANG PASU, 20 Feb (Bernama) -- Berdasarkan rekod prestasi yang baik kerajaan di bawah kepimpinan Barisan Nasional (BN) dalam membangunkan negara ini, rakyat diharap terus memberi mandat mentadbir negara kepada parti itu menerusi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) nanti.
Anggota Parlimen Kubang Pasu Datuk Seri Mohd Johari Baharum berkata tidak ada sebab untuk menukarkan kepimpinan sedia ada kerana lebih banyak lagi perancangan dan pembangunan boleh dilakukan kerajaan demi kepentingan rakyat sekali gus memastikan kejayaan negara ini pada masa depan.
"Saya kata macam ni, walau apa yang terjadi kepada petani, dan nelayan kerajaan sentiasa melihat masalah mereka dari sekecil-kecil masalah kepada sebesar-besar masalah untuk dibantu.
"Jadi, janganlah dengar pihak lain yang hanya memburukkan kebaikan yang kita lakukan demi mendapat kelebihan politik semata-mata, sebaliknya percayalah kerajaan yang ada ini bersistem dalam pendidikan, pertahanan, ekonomi dan menjadi salah sebuah negara yang disegani dan dicontohi oleh negara Islam dan bukan Islam," katanya.
Mohd Johari yang juga Timbalan Menteri Pertahanan berkata demikian kepada pemberita selepas menyerahkan bantuan wang ihsan banjir bagi daerah Kubang Pasu di Jitra dekat sini hari ini.
-- BERNAMA