Program 2P Perkasakan Lagi Persediaan Wanita UMNO Terengganu Untuk PRU14

MARANG, 20 Feb (Bernama) -- Program Pemantapan dan Pengukuhan (2P) Wanita UMNO Terengganu adalah program terakhir jentera sayap parti itu dalam memperkasakan lagi persediaan mereka menghadapi pilihan raya umum ke 14.
Timbalan Ketua Wanita UMNO Terengganu, Datuk Rohani Abdullah berkata setakat ini, jentera sayap terbesar parti itu telah melaksanakan semua program Jalinan Rakyat (JR) turun padang mendekati rakyat dengan lancar dan mesra.
"Apa sahaja yang melibatkan pengundi seperti ziarah orang sakit dan meninggal dunia, hadir majlis perkahwinan, kenduri kendara dan melawat ibu yang bersalin telah dilakukan.
"Apa yang penting ketika ini, ialah memperkemaskan pengetahuan tentang isu-isu terkini bagi memudahkan Wanita untuk menerangkan fakta yang sebenar kepada pengundi agar tidak lagi terpengaruh dengan dakyah pembangkang," katanya.
Beliau berucap di majlis perasmian 2P Wanita UMNO Terengganu yang disempurnakan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman di sini hari ini.
-- BERNAMA