Kemasukan UMNO Ke Sabah Satu Keputusan Bertanggungjawab




KOTA KINABALU, 21 Feb (Bernama) -- Seorang pemimpin kanan UMNO Sabah berkata rakyat negeri itu membuat keputusan tepat apabila membenarkan parti politik yang berpangkalan di Semenanjung memasuki Sabah dalam usaha menyelesaikan jerlus politik yang membelenggu negeri sejak awal 1990-an.

"Saya tidak fikir timbul sebarang penyesalan (berhubung keputusan itu) mahupun ia menjadi halangan kepada rakyat dan negeri ini," kata Ketua UMNO Papar Datuk Seri Abdul Rahim Ismail.

"Jika diambil kira semuanya, ia satu keputusan tepat dan bertanggungjawab. Apa yang kita saksikan di Sabah sejak 26 tahun lalu jauh berbeza dengan keadaan negeri ini sebelum itu. Hakikatnya juga UMNO dipelawa melebarkan sayapnya ke Sabah."

"Tambahan pula, Sabah dibelenggu pertelagahan politik yang ditimbulkan oleh pihak tertentu yang dikenali oleh rakyat Sabah."

"Walaupun Berjaya, Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (Usno) dan Parti Bersatu Sabah (PBS) diterima sebagai sebahagian kerajaan persekutuan, di peringkat negeri, pergaduhan dalam kalangan parti politik tempatan sukar dikawal," kata Abdul Rahim yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri Pantai Manis kepada Bernama.

Katanya situasi sekarang jauh berbeza dengan suasana sebelum UMNO memasuki Sabah sehingga pada akhirnya menjadi parti tulang belakang kerajaan Barisan Nasional (BN) negeri.

"Seperti yang kita boleh lihat, rakyat Sabah kini menikmati kestabilan politik berterusan dan kemajuan ekonomi yang pesat, selain hubungan kerja yang rapat di antara pemimpin negeri dan persekutuan."

"Situasi yang kondusif ini membawa limpahan ekonomi yang besar kepada Sabah terutamanya dari segi penerimaan pembiayaan persekutuan yang signifikan," katanya.

Rahim yang merupakan antara anggota jawatankuasa penaja bagi kemasukan UMNO pada 1991, turut berkata adalah tidak wajar untuk mempertikaikan pemimpin pengasas UMNO Sabah yang masih memegang jawatan politik.

"Untuk berlaku adil kepada mereka, kebanyakan mereka memegang jawatan kanan dalam kerajaan ketika itu namun mereka secara rela menyertai politik menerusi UMNO," katanya.

"Apa yang saya katakan ini, badan penaja UMNO Sabah adalah tonggak kemasukan UMNO ke Sabah."

"(Justeru) Daripada mempersoalkan kehadiran mereka, sepatutnya mereka ini dialu-alukan selagi mereka mampu berkhidmat kepada parti. Saya tidak fikir mereka lakukannya atas kepentingan diri selepas apa yang mereka korbankan," katanya.

Antara anggota jawatankuasa penaja UMNO Sabah ialah Tun Datu Mustapha Datu Harun, Datuk Seri Abdul Rahim Ismail, Datuk Juslie Ajirol, Datuk Ampong Puyon, Tun Dr Juhar Mahiruddin (kini Yang Dipertua Negeri Sabah), Datuk Seri Yahya Ag Hussin, Datuk Osu Sukam, Datuk Dr Yusof Yacob, Haji Karim Ghani, Datuk Dr Kassim Kamidin dan Tun Sakaran Dandai.

Rahim berkata Ketua Menteri Sabah Tan Sri Musa Aman selaku Bendahari UMNO Sabah yang pertama, juga memainkan peranan penting dalam merealisasikan perjuangan UMNO di negeri itu.

Di bawah kepimpinan Musa, UMNO Sabah menerima sokongan besar secara mendadak sehinggakan Sabah dikenali sebagai ?deposit tetap'.

-- BERNAMA