Agihan Kerusi BN Negeri Sembilan Masih Sama - MB




SEREMBAN, 21 Feb (Bernama) -- Kedudukan agihan kerusi Barisan Nasional (BN) Negeri Sembilan bagi menghadapi pilihan raya umum (PRU) ke-14 kekal seperti PRU sebelum ini, kata Pengerusinya Datuk Seri Mohamad Hasan.

Bagaimanapun katanya jika ada sebarang perubahan atau pertukaran kerusi, perkara itu akan diputuskan oleh pucuk pimpinan tertinggi parti.

"Setakat apa yang saya tahu ia masih status quo. Jika ada perubahan, itu akan diputuskan di peringkat atasan.

"Di segi BN negeri, peruntukan kerusi untuk setiap parti kekal status quo,"katanya pada sidang media di sini hari ini semasa ditanya mengenai proses agihan kerusi parti komponen BN negeri.

Sebelum ini timbul desas-desus mengenai desakan akar umbi agar UMNO bertanding di kerusi Parlimen Telok Kemang yang merupakan kawasan tradisi MIC.

Kerusi itu kini diwakili Parti Keadilan Rakyat (PKR) menerusi Datuk Kamarul Baharin Abbas yang menewaskan Datuk V. S. Mogan dengan majoriti 1,579 undi pada PRU13.

Sementara itu, Mohamad yang juga Menteri Besar Negeri Sembilan, berkata BN negeri yakin mampu menang 26 daripada 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) serta tujuh daripada lapan kerusi parlimen di negeri itu.

"Saya yakin UMNO akan menang semua kerusi yang ditandingi termasuk merampas semula kerusi DUN Sikamat manakala MIC yang bertanding di dua kerusi DUN boleh mengekalkan kemenangan DUN Jeram Padang dan menawan semula kerusi DUN Port Dickson.

"Bagi MCA yang bertanding dan tewas di semua 11 kerusi DUN yang ditandinginya pada PRU lalu, dijangka dapat menawan semula sekurang-kurangnya dua kerusi,"kata Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri itu.

Pada PRU lalu, BN Negeri Sembilan menguasai 22 kerusi DUN manakala DAP menang 11 dan baki tiga kerusi dimenangi oleh PKR.

Bagi kerusi parlimen pula, BN menang lima, DAP (2) dan PKR (1).

-- BERNAMA