Rakyat Sambut Baik Program Jualan Murah Anjuran UMNO




KOTA BHARU, 21 Feb (Bernama) -- Kira-kira 3,000 penduduk merebut peluang membeli barang keperluan harian pada harga murah menerusi program Jualan Murah Untuk Rakyat anjuran UMNO Bahagian Kota Bharu di Padang Awam Taman Guru di sini, hari ini.

Program berkenaan yang bermula 8 pagi menawarkan barangan seperti minyak masak, gula dan tepung gandum pada harga lebih rendah berbanding harga pasaran.

Seorang peniaga kuih Majidah Yusoff, 48, berkata program tersebut berfaedah kerana menawarkan harga yang rendah dengan potongan antara 10 dan 20 sen selain dianjurkan berdekatan rumahnya.

"Walaupun berbeza antara 10 dan 20 sen dengan tempat lain bagi setiap barang, kalau dibeli dalam jumlah yang banyak, ia berbaloi,"katanya.

Abdul Manaf Hamid, 57, pula berkata jualan murah itu dapat menjimatkan perbelanjaan dalam menyediakan barangan keperluan harian.

"Saya percaya ramai yang berpuas hati dengan konsep ini dan berharap akan ada lagi program seperti ini pada masa hadapan,"katanya.

Program dengan kerjasama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Kelantan itu dirasmikan Timbalan Ketua UMNO Bahagian Kota Bharu Datuk Mohamed Hasnan Che Hussin.

-- BERNAMA