Masyarakat Siam Di Perlis Dan Kedah Tetap Sokong BN




KANGAR, 21 Feb (Bernama) -- Masyarakat Siam di Perlis tetap memberi sokongan penuh kepada Barisan Nasional (BN) pada setiap pilihan raya umum, kata Menteri Besar, Datuk Seri Azlan Man.

Beliau berkata sokongan yang tidak berbelah bagi itu disebabkan kerajaan pimpinan BN sentiasa mengutamakan kebajikan rakyat tanpa mengira kaum dan agama.

"Apa sahaja yang dinikmati orang Melayu, bangsa lain seperti India, Cina dan Siam juga merasainya,"katanya kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan kepada seorang penduduk Siam, Plab a/p Din Yat, di Kampung Guar Ujung Batu di sini hari ini.

Selain penduduk berkenaan, Azlan turut menyampaikan sumbangan kerajaan negeri kepada lima penduduk Siam di Kampung Guar Syed Alwi di sini dalam rangka menziarahi masyarakat Siam yang kurang bernasib di dua kampung berkenaan.

Sementara itu di PENDANG, Kedah, Ahli Parlimennya, Datuk Othman Abdul turut mernyatakan pandangan sama walaupun terdapat usaha pembangkang menarik sokongan kaum minoriti itu menjelang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

"Memang ada sikit-sikit ejen pembangkang dalam kalangan masyarakat Siam dari dulu lagi dan jika depa (pembangkang) kata ramai dah beralih kepada pembangkang itu tidak betul,"katanya kepada pemberita pada majlis penyerahan wang ihsan kepada 100 mangsa banjir dan ribut di daerah Pendang, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas laporan sebuah portal pembangkang yang memetik Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Datuk Seri Mukhriz Tun Dr Mahathir sebagai berkata kononnya 80 peratus pengundi masyarakat Siam di negeri Kedah mula menyokong PPBM.

Beliau berkata berdasarkan pertemuan bersama pemimpin masyarakat Siam minggu lalu mendapati mereka menyatakan tidak akan berganjak dan akan terus bersama BN.

Beliau menyeru masyarakat itu supaya tidak mudah termakan dengan janji-janji pembangkang dan meletakkan kepercayaan kepada kerajaan sedia ada yang terbukti membawa pembangunan kepada masyarakat itu.

-- BERNAMA