Arkitek Muda Calon Berpotensi MCA Di Sekinchan - Liow
SABAK BERNAM, 22 Feb (Bernama) -- Arkitek berusia 29 tahun antara calon berpotensi dikenal pasti MCA untuk bertanding kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sekinchan pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), kata Presiden parti Datuk Seri Liow Tiong Lai.
Lee Yee Yuan, yang merupakan anggota jawatankuasa MCA Bahagian Sungai Besar, disyorkan MCA bertanding kerusi DUN itu kerana dilihat antara individu berkaliber yang mampu membawa perubahan besar kepada kawasan itu.
"Bagaimanapun, kita perlu tunggu \'restu\' Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Najib Tun Razak,"katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan surat khabar 'Sungai Besar Kini' (versi Cina) di sini, hari ini.
Kerusi DUN Sekinchan kini disandang Ng Suee Lim daripada DAP selepas menewaskan calon BN, Kek Seng Hooi, dengan majoriti 2,239 undi pada PRU13.
Terdahulu, dalam majlis berasingan, Liow yang juga Menteri Pengangkutan berkata Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Tun Dr Mahathir Mohamad kini ketandusan isu apabila memainkan isu pendaftaran parti itu yang gagal mendapat kelulusan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS).
"Jelas sekali yang Pribumi (PPBM) perlu memenuhi semua syarat yang ditetapkan dan (pada masa ini) belum sahih lagi yang permohonan mereka ditolak.
"Justeru itu, Dr Mahathir ketandusan isu dan memainkan isu ROS pula,"katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis penyerahan suar penanda arah Kuala Sungai Sekinchan di sini.
Beliau mengulas kenyataan Anggota Majlis Tertinggi (MT) UMNO Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi semalam yang mendakwa Dr Mahathir dan anaknya Datuk Seri Mukhriz bakal bertanding atas tiket DAP pada PRU14.
Mohd Puad yang juga Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) mendakwa kegagalan mendapat kelulusan pendaftaran PPBM dijadikan alasan untuk Dr Mahathir dan Mukhriz bertanding menggunakan logo DAP.
Liow berkata dakwaan Dr Mahathir bertanding atas tiket DAP menunjukkan beliau tidak yakin dengan keupayaan parti sendiri untuk menarik sokongan masyarakat di negara ini.
-- BERNAMA