MIC Berharap Lebih Banyak Pelantikan Kaum India Dalam Perkhidmatan Awam




KUALA LUMPUR, 23 Feb (Bernama) -- MIC berharap pembaharuan perkhidmatan awam akan diteruskan di bawah kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak terutama berhubung kepelbagaian kaum yang lebih besar bagi jawatan tertinggi.

Sehubungan itu, Ketua Pemuda MIC Datuk C. Sivarrajh menyeru lebih ramai daripada kaum India di negara ini mengambil peluang menyertai perkhidmatan awam.

Di bawah kepimpinan Najib, tiada halangan untuk mereka mencapai kedudukan tertinggi di jabatan masing-masing, katanya dalam kenyataan, di sini Khamis.

Beliau memberi contoh pelantikan Narinder Singh sebagai Pesuruhjaya Penjara minggu lepas.

Selain itu pelantikan Datuk Seri T. Subromaniam sebagai Ketua Pengarah Kastam turut menjadi bukti pengiktirafan pentadbiran Najib kepada kaum India, katanya.

"Begitu juga dengan pelantikan Ketua Polis Pulau Pinang Datuk A. Thaiveegan dan juga Datuk Amar Singh sebagai pengarah berketurunan Sikh pertama untuk Jabatan Jenayah Komersial di Bukit Aman," katanya.

Beliau berkata pelantikan itu adalah penghargaan kepada rakyat Malaysia yang setia dan mampu berdasarkan merit, tanpa mengira bangsa atau agama.

-- BERNAMA