Puteri UMNO Kemuka 15 Nama Sebagai Calon BN PRU14

PASIR PUTEH, 23 Feb (Bernama) -- Pergerakan Puteri UMNO mengemukakan 15 nama daripada sayap parti itu untuk bertanding sebagai calon Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
Ketuanya Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata pergerakan itu telah menghantar nama-nama calon berkenaan kepada Pengerusi BN Datuk Seri Najib Tun Razak untuk dipertimbangkan.
"Saya berharap agar pucuk pimpinan parti dapat memberi ruang kepada golongan wanita muda untuk mewakili BN pada PRU14 ini kerana calon yang dikemukakan adalah berpotensi untuk menang," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Majlis Penyampaian Bantuan Cermin Mata di Kompleks Uthmaniyah Kampung Pulau Lima di sini, hari ini.
Hadir sama Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Senator Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki dan Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selising Zulkifli Ali.
Mas Ermieyati yang juga Timbalan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan bagaimanapun tidak mendedahkan senarai nama calon tersebut serta kawasan yang akan ditandingi oleh anggota pergerakan tersebut.
Beliau berkata pada PRU13 yang lalu, pergerakan tersebut diberi peluang untuk bertanding di sembilan kerusi Parlimen dan DUN.
Dalam pada itu beliau berkata lebih 30,000 anggota akar umbi sayap berkenaan di 161 kawasan Parlimen kini siap siaga untuk menghadapi PRU14 yang dijangka diadakan tidak lama lagi.
Katanya anggota akar umbi Pergerakan Puteri UMNO itu akan ditugaskan dalam pelbagai bidang termasuk sebagai ejen, perayu undi, kerani pendaftaran pengundi dan sebagainya.
"Saya akan turun padang ke setiap negeri untuk menyelaraskan gerak kerja di peringkat Parlimen dan DUN agar ia lebih mantap dan tersusun sekaligus mengelakkan gerak kerja kami daripada bertindih dengan sayap lain," katanya.
-- BERNAMA