BN Perak Bakal Letak Calon Dalam Kalangan Penjawat Awam
IPOH, 23 Feb (Bernama) -- Barisan Nasional (BN) Perak telah mengenal pasti beberapa individu dalam kalangan penjawat awam yang berpotensi diketengahkan sebagai calon pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14), kata Pengerusinya Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.
Beliau berkata, pada ketika ini, proses pemantauan dan penilaian secara khusus sedang dilakukan terhadap calon-calon tersebut bertujuan memastikan mereka layak untuk mengisi sama ada kerusi Parlimen atau Dewan Undangan Negeri (DUN).
"Kita tak nafikan sudah ada beberapa nama yang sedang kita tinjau dan perhalusi sama ada untuk (diketengahkan sebagai calon) kerusi Parlimen atau DUN...BN perlukan individu yang mampu mengurus dengan baik," katanya pada sidang media selepas menghadiri Program Santai Bersama Penjawat Awam Daerah Kinta di Kolej Sains Kesihatan Bersekutu (KSKB) Sultan Azlan Shah di sini, hari ini.
Zambry yang juga Menteri Besar berkata, pendekatan yang diguna pakai itu bukan strategi baharu, malah pernah digunakan BN Perak dalam beberapa PRU terdahulu.
"Sebab dalam konteks pengurusan politik dan pentadbiran, kita perlukan kepelbagaian latar belakang. Tak kiralah sama ada mereka lelaki, wanita atau anak muda," katanya.
-- BERNAMA