BR1M Untuk Membantu Rakyat Benar-benar Memerlukan - KSU Perbendaharaan




KUANTAN, 24 Feb (Bernama) -- Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) merupakan kaedah digunakan kerajaan untuk membantu golongan yang benar-benar memerlukan dan sampai kepada golongan sasar, kata Ketua Setiausaha Perbendaharaan Tan Sri Dr Mohd Irwan Serigar Abdullah.

Beliau berkata kerajaan juga sentiasa mencari jalan untuk menambah baik kaedah pemberian BR1M dan membantu meningkatkan taraf ekonomi penerimanya menerusi pelbagai latihan dan program.

"Antaranya menerusi latihan keusahawanan, kemudahan pinjaman perniagaan dan sebagainya kerana kerajaan tidak mahu mereka selamanya berada di takuk yang sama. Perubahan perlu dilakukan bagi memastikan kehidupan yang lebih baik di masa depan," katanya.

Justeru, katanya tindakan pembangkang yang mengaitkan pemberian BR1M sebagai 'gula-gula' kerajaan menjelang pilihan raya umum adalah modal lapuk dan bersifat fitnah.

"BR1M diberi kepada golongan yang benar-benar memerlukan dan mereka akan berbelanja untuk keperluan sendiri dan pada masa sama membantu menggerakkan ekonomi negara," katanya kepada pemebrita selepas menghadiri Program Keusahawanan Bumiputera (BAHTERA) 2018 edisi Timur di sini hari ini.

Program itu dirasmikan Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Sumber Manusia dan Tugas-Tugas Khas Pahang Datuk Seri Norol Azali Sulaiman. Turut hadir Pengarah Unit Strategi Nasional Kementerian Kewangan, Datuk Dr Aminuddin Hassim dan Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang Datuk Seri Muhammad Safian Ismail.

Mengulas BAHTERA 2018 yang disertai 101 usahawan, Mohd Irwan Serigar berkata produk keluaran usahawan Bumiputera berpotensi untuk diketengahkan ke peringkat lebih tinggi memandangkan kualitinya setanding dengan produk luar negara.

"Program ini menjadi platform tepat bagi mengenal pasti kelebihan dan kekurangan produk mereka serta mengetahui kemudahan-kemudahan yang disediakan kepada usahawan termasuk institusi perbankan berkaitan yang dijemput untuk duduk sebumbung dengan mereka," katanya.

Mohd Irwan Serigar berkata usahawan Bumiputera juga digalakkan untuk mendaftarkan perniagaan mereka di Alibaba.com sebagai satu medium untuk memasarkan produk mereka ke peringkat global.

"Ramai anak muda yang bijak mempromosikan produk mereka secara dalam talian tanpa perlu menggunakan banyak tenaga kerja malah cara ini menjadi pilihan ramai pada masa kini kerana lebih pantas dan berkesan.

"Saya amat berharap mereka gunakan segala ilmu dan kesempatan yang ada untuk kembangkan perniagaan masing-masing dengan menggunakan segala kelebihan dan kemudahan yang disediakan sepanjang program ini berlangsung," katanya.

-- BERNAMA