PRU14: MCA Pulau Pinang Kemuka Banyak Calon Muka Baharu Dan Muda




GEORGE TOWN, 24 Feb (Bernama) -- MCA Pulau Pinang telah menyenaraikan 14 calon untuk bertanding 10 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan empat kerusi Parlimen di negeri itu pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

Presiden MCA Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata majoriti calon MCA Pulau Pinang yang dikemukakan pada PRU14 adalah muka baharu dan golongan muda.

"Calon MCA kita dah siap semua, senarai dah disenarai pendek. Kita dah beri pada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak. Tunggulah pengumuman kelak," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina MCA Pulau Pinang, di sini hari ini.

Beliau berkata MCA dan Barisan Nasional (BN) berazam tinggi untuk merampas kembali kerusi-kerusi yang kalah pada pilihan raya umum yang lepas.

"Beri peluang kepada kerajaan BN dan MCA, sama-sama kita eratkan pasukan kita dan bangunkan negeri ini," katanya.

-- BERNAMA