Terjemahkan Kekuatan UMNO Kepada Kemenangan PRU14 - Hishammuddin
BATU PAHAT, 24 Feb (Bernama) -- Naib Presiden UMNO Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein mahu UMNO menterjemahkan kekuatan parti itu kepada kemenangan Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14).
Anggota Parlimen Sembrong itu berkata, kekuatan parti yang turut dipacu barisan kepimpinan yang kuat tidak bermakna sekiranya UMNO dan Barisan Nasional (BN) gagal memenangi pilihan raya umum itu nanti.
Justeru itu, beliau berkata anggota UMNO perlu memperkuatkan lagi jentera untuk menghadapi PRU14 akan datang.
"(Kita di Johor) apabila kita letakkan perjuangan parti, kita sentiasa merapatkan barisan dan itulah merupakan kelebihan yang ada pada diri kita dan itulah yang menyebabkan kita masih kuat.
"Kerana kita tahu bahawa sesungguhnya tak mungkin BN dapat diberikan mandat kalau parti UMNO itu sendiri tidak kuat untuk menjadi tunjang kepada BN," katanya ketika berucap di Majlis Perjumpaan Pemimpin Bahagian UMNO Ayer Hitam, Parit Sulong dan Simpang Renggam yang turut dihadiri veteran Angkatan Tentera Malaysia, di sini, hari ini.
Hishammuddin menyeru anggota UMNO bangkit berdepan dengan PRU14 yang cabarannya disifatkan bukan 'biasa-biasa' dan tidak pernah dilalui pada mana-mana PRU sebelum ini.
Bagaimanapun, beliau yakin dengan kekuatan UMNO Johor yang mampu melaluinya memandangkan telah melalui beberapa ujian membabitkan beberapa pemimpin tertinggi UMNO meninggalkan parti termasuk datuknya sendiri iaitu Allahyarham Onn Jaafar.
"Kita pernah berada di persimpangan dan keliru kerana sayangkan beberapa pemimpin yang meninggalkan parti sehingga terpaksa membuat pilihan sukar antara kawan atau perjuangan parti.
"Dulu ada yang fikir UMNO Johor tidak mungkin boleh bersatu balik, namun kita, ahli dan pemimpin di Johor sejak dulu membuktikan tidak pernah pentingkan agenda peribadi melebihi perjuangan dan kesetiaan kita terhadap parti.
"Saya tahu sekarang adalah masa yang sukar kerana berdepan ujian, namun masa susah inilah kita perlu bangkit meneruskan perjuangan dan menunjukkan kesetiaan pada parti," katanya.
Hishammuddin yang juga Menteri Pertahanan dan Menteri Tugas-Tugas Khas berkata kemenangan pada PRU14 juga penting bagi memastikan penghormatan dunia luar terhadap perjuangan Malaysia terus kekal.
"(Contohnya) mengenai perjuangan Islam, lihat sahaja hubungan (Malaysia) dengan negara-negara Islam lain, mereka cukup kagum dengan kita yang mencerminkan wajah sebenar Islam yang bertoleransi dan sederhana ketika membangun bersama masyarakat majmuk.
"Kuat macam manapun parti kita, kuat macam manapun barisan kepimpinan kerajaan tetapi kalau mereka (negara lain) lihat kita tak mampu pertahan apa diwarisi sebelum ini, saya bimbang mungkin penghormatannya tak seperti dahulu lagi," kata beliau.
Turut hadir pada majlis itu ialah Ketua UMNO Bahagian Ayer Hitam Datuk Samsolbari Jamali, Ketua UMNO Bahagian Parit Sulong Datuk Zulkurnain Kamisan dan Ketua UMNO Bahagian Simpang Renggam Datuk Abd Hamid Abd Rahman.
-- BERNAMA