Kerajaan BN Komited Beri Kesamarataan Pembangunan Di Seluruh Negara - Ongkili




SEMPORNA, 24 Feb (Bernama) -- Kerajaan Barisan Nasional (BN) komited memperbaiki keadaan dan memberi kesamarataan pembangunan termasuk berkaitan pembekalan elektrik dan infrastruktur antara Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak, kata Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air Datuk Seri Dr Maximus Johnity Ongkili.

"Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak juga berjanji akan mengurangkan jurang perbezaan antara negeri kita dan Semenanjung Malaysia, mana boleh orang sana saja nikmati pembangunan saja dan inilah matlamat parti BN," katanya.

Menurut Ongkili, yang juga pemangku Presiden Parti Bersatu Sabah, BN berbeza dengan pembangkang yang cakap banyak dan berjanji tetapi tidak melunaskan janji.

"Dulu ada yang memegang jawatan menteri tetapi tidak buat apa-apa. Rakyat boleh fikir dan 'stick' dengan (terus menyokong) BN yang ikhlas bantu rakyat," katanya ketika ditemui pemberita di Kampung Menteritip di sini hari ini, selepas merasmikan tapak projek janakuasa solar 1MVP milik Powernet Venture Sdn Bhd, yang siap sejak setahun lalu.

-- BERNAMA