Kerajaan BN Mampu Bangunkan Kelantan Lebih Baik Lagi - Mustapa
PASIR MAS, 24 Feb (Bernama) -- Kerajaan Barisan Nasional (BN) mampu membangunkan Kelantan dengan lebih baik sekiranya diberi mandat oleh rakyat pada pilihan raya umum ke-14 nanti, kata Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan Datuk Seri Mustapa Mohamed.
Beliau berkata selama ini pun kerajaan BN banyak memberi bantuan dan pembelaan kepada rakyat melalui pelbagai projek pembangunan yang dilaksana demi kesejahteraan mereka.
"Jika BN berjaya kembali mentadbir Kelantan pada pilihan raya umum akan datang, saya akan pastikan negeri ini antara lain menjadi nombor satu dalam sektor pertanian," katanya semasa berucap pada Majlis Sepetang Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi Bersama Rakyat di Dataran Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA), Tendong di sini hari ini.
Hadir sama isteri Ahmad Zahid, Datin Seri Hamidah Khamis, Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Ahmad Jazlan Yaakub, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, Ketua Penerangan UMNO Tan Sri Annuar Musa dan Ketua UMNO bahagian Pasir Mas Senator Datuk Hanafi Mamat.
Mustapa, yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, menarik perhatian bahawa kerajaan persekutuan melalui pelbagai agensinya mampu memulihkan tanah terbiar sebagaimana yang dilakukan di tanah terbiar seluas 60 hektar di Kampung Bendang, Bunut Susu di sini.
Beliau berkata melalui pelbagai bentuk bantuan pertanian seperti baja, racun serangga, jentera membajak dan menuai telah menjadikan kawasan berkenaan sesuai dengan tanaman padi dan memberi keuntungan kepada petani yang mengusahakannya.
-- BERNAMA