Mohamad Seru Kaum Cina Beri Peluang Kepada Calon BN





SEREMBAN, 24 Feb (Bernama) -- Masyarakat Cina di Negeri Sembilan diminta memberi peluang dan kepercayaan kepada calon Barisan Nasional (BN) dari parti MCA dan Gerakan pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) akan datang bagi memastikan kaum itu mempunyai wakil dalam pentadbiran kerajaan negeri.

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan, selaku Pengerusi BN Negeri, berkata masyarakat Cina di negeri itu perlu bijak menggunakan peluang dalam PRU14 untuk meletakkan wakil mereka dalam kerajaan negeri.

Menurutnya, suara kaum Cina dalam kerajaan negeri adalah penting bagi memastikan kepentingan dan apa sahaja permasalahan dapat diputuskan secara bersama.

Pada masa ini, pentadbiran kerajaan negeri mempunyai 11 anggota Exco dan kebanyakannya orang Melayu dengan hanya seorang wakil rakyat kaum India.

"Pada masa ini, saya tak dapat tahu sepenuhnya masalah yang dihadapi masyarakat Cina. Jika ada wakil, mereka boleh terus berhubung dengan wakil mereka," katanya kepada pemberita selepas merasmikan bangunan baharu Persatuan Kebajikan dan Pendidikan Jiu Loong Gong (PKPJLG), di sini hari ini.

Turut hadir, Ketua Pemuda MCA, Datuk Chong Sin Woon, Pengerusi MCA Negeri Sembilan, Datuk Seri Dr Lim Chin Fui dan Pengerusi PKPJLG, Koh Sing Yee.

Mohamad berkata walaupun tiada wakil masyarakat Cina dalam anggota pentadbiran negeri, nasib kaum Cina tidak pernah terpinggir.

"Dengan tidak menaikkan cukai tanah dan tidak membenarkan pihak majlis perbandaran menaikkan cukai pintu, majoriti yang menikmati faedah tersebut adalah orang Cina yang banyak duduk di bandar.

"Saya cuba pastikan semua pihak mendapat apa saja faedah yang kerajaan sediakan kerana saya tidak memilih kaum dan agama dalam menyampaikan bantuan," katanya.

Sementara itu, Mohamad turut mengumumkan bantuan RM50,000 kepada persatuan tersebut.

Persatuan yang ditubuhkan pada 2008 itu, banyak membantu golongan miskin, berpendapatan rendah dan ibu tunggal.

Ia juga menyediakan taska, tadika dan tuisyen percuma kepada golongan yang tidak berkemampuan.

-- BERNAMA