Dekati Pengundi Muda Dalam Memastikan Kemenangan BN - Khairy





KUALA LUMPUR, 24 Feb (Bernama) -- Anggota Pemuda Barisan Nasional (BN) Kuala Lumpur digesa memainkan peranan penting mendekati golongan muda untuk memastikan kemenangan BN pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14) akan datang.

Pengerusi Pemuda BN Khairy Jamaluddin menegaskan tugas mereka misalnya bukan sekadar menampal poster, memasang bendera BN dan menyertai konvoi bermotosikal ke setiap kawasan.

"Tugas mereka adalah menjelaskan kepada pengundi muda apa yang kerajaan BN telah lakukan untuk golongan muda sejak memenangi PRU yang lepas.

"Banyak program dan peluang telah ditawarkan kepada golongan muda khususnya di Kuala Lumpur seperti peluang pekerjaan, pendidikan, latihan keusahawanan, peluang perniagaan, tawaran pemilikan rumah dan sebagainya," kata Menteri Belia dan Sukan itu.

Khairy bercakap pada sidang media selepas majlis pelancaran Briged Gempur 2314 Pemuda BN Wilayah Persekutuan yang disempurnakan Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor di sini hari ini.

Briged Gempur 2314 digerakkan bagi membantu BN memenuhi sasaran meraih majoriti dua pertiga daripada keseluruhan kerusi parlimen yang dipertandingkan dalam PRU14.

-- BERNAMA