Ahli Parti Harus Kotakan Deklarasi Yang Dilafaz - Hamzah

PORT DICKSON, 24 Feb (Bernama) -- Deklarasi yang dilafazkan oleh ahli-ahli UMNO untuk terus taat setia kepada pemimpin dan membantu kemenangan Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) perlu dikotakan, kata Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Hamzah Zainudin.
Beliau yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, berkata deklarasi yang dibuat mestilah jujur dan tidak menyebabkan perpecahan yang lebih besar.
"Deklarasi yang kita buat biar benar-benar ikhlas dan jujur kerana kita akan menghadapi satu cabaran yang sangat besar iaitu menentukan Datuk Seri Najib Tun Razak terus kekal menjadi perdana menteri untuk penggal akan datang," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis penutup Konvensyen My Wangsa Maju 2018 di sini hari ini.
Turut hadir Ketua UMNO Bahagian Wangsa Maju Datuk Seri Dr Mohd Shafei Abdullah.
Hamzah berkata walaupun BN pernah dimomokkan sebagai Barang Naik pada PRU yang lepas, sehingga mempengaruhi emosi pengundi, namun parti itu membuktikan sebaliknya dengan terlaksananya program seperti Jualan Sentuhan Rakyat yang menawarkan harga barang dapur lebih murah dari harga pasaran.
"Sebanyak 238 jualan dibuat di seluruh negara yang memberi manfaat kepada lebih sejuta pengunjung," katanya.
Sementara itu, Mohd Shafie berkata beliau bersedia untuk bertanding sebagai calon PRU14 selain yakin mampu memenangi semula kawasan Wangsa Maju.
"Bagaimanapun ia terserah kepada Presiden parti yang lebih arif. Bagi pihak kami, sokongan orang Melayu di Wangsa Maju begitu jitu," katanya.
Pada program itu, seramai 400 peserta membabitkan ahli UMNO, parti komponen dan badan bukan kerajaan (NGO) berkampung selama tiga hari di sini bagi mengatur strategi memperkuatkan jentera parti.
Mereka sebelum itu melaungkan deklarasi menyatakan sokongan penuh kepada BN yang dipimpin Najib.
-- BERNAMA