Projek RTB Tanda Kesungguhan Kerajaan Tangani Masalah Rakyat
PEKAN, 25 Feb (Bernama) -- Kelulusan sebanyak RM564 juta bagi projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Fasa 2 Bandar Pekan menunjukkan kesungguhan dan keprihatinan kerajaan dalam menangani permasalahan yang dihadapi rakyat.
Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar (NRE) Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata apabila siap sepenuhnya kelak, projek itu akan membantu memberi perlindungan kepada 83,000 penduduk di Pekan, melibatkan kawasan seluas 6,200 hektar.
"Masalah banjir di Pekan sudah lama berlaku, sejak dari tahun 1920-an sudah berlaku kerana keadaan topografi yang rendah antara 'reduce level' 3.0 meter menyebabkannya terdedah kepada risiko banjir.
Kawasan banjir di Pekan seperti di bandar dan kawasan sepanjang Sungai Pahang memerlukan perancangan pembangunan terkawal yang turut mengambil kira sistem saliran setempat," katanya.
Wan Junaidi berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Pecah Tanah Projek RTB itu yang disempurnakan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di Pulau Keladi di sini, hari ini.
Turut hadir ialah Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob, Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang Datuk Seri Muhammad Safian Ismail, Timbalan Menteri NRE Datuk Seri Hamim Samuri dan Ketua Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran Datuk Dr Md Nasir Md Noh.
Mengulas mengenai projek RTB Bandar Pekan Fasa 2, Wan Junaidi berkata projek itu dibahagikan kepada tiga petak, yang mana petak satu yang sudah 94 peratus dilaksanakan dijadualkan siap sepenuhya pada hujung tahun ini.
Petak satu melibatkan kerja pembinaan ban pencegah banjir, sistem saliran dalaman, pembinaan struktur kawalan banjir dan kerja menaik taraf sungai-sungai di daerah Pekan, katanya.
"Fasa 2 yang dirasmikan perdana menteri hari ini melibatkan kontrak yang bermula sejak Julai 2017 dan dijangka siap pada tahun 2020 manakala Fasa 3 sedang dalam penilaian," katanya.
Wan Junaidi menambah keprihatinan kerajaan dalam masalah berkaitan alam sekitar seperti musibah banjir, hakisan pantai dan tebing sungai bukan tindakan bermusim, sebaliknya dilakukan sepanjang masa.
Sebagai contoh, Wan Junaidi merujuk kepada kelulusan sebanyak RM1.9 bilion bagi melaksanakan 16 projek utama bagi menangani isu itu di Pahang di bawah Rancangan Malaysia ke-11 (RMK11) di bawah Rolling Plan Ketiga.
Beliau menambah pelaksanaan semua projek itu bagaimanapun memerlukan kerjasama daripada semua pihak khususnya kerajaan pusat, kerajaan negeri dan pentadbiran daerah untuk memastikan kejayaannya.
-- BERNAMA