PRU14: Sokongan Pengundi Pembangkang Dijangka Beralih Ke BN - Teo
.png)
KOTA KINABALU, 25 Feb (Bernama) -- Sebilangan besar pengundi pembangkang yang kecewa dengan realiti politik semasa dijangka beralih menyokong Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) akan datang, kata Presiden Parti Liberal Demokratik (LDP), Datuk Teo Chee Kang.
Beliau berkata golongan ini kecewa terhadap sikap pemimpin pembangkang yang tidak berprinsip teguh apabila sanggup bersekongkol dengan musuh politik mereka sebelum ini semata-mata mahu memenangi PRU14.
"Saya percaya penyokong tegar sudah muak dengan sandiwara politik dalam pakatan pembangkang dan mungkin mereka mahu memberi 'pengajaran' kepada pembangkang kali ini," katanya kepada pemberita selepas Majlis Rumah Terbuka LDP sempena Tahun Baharu Cina, di sini hari ini.
Beliau berkata trend pengundi pembangkang yang tidak puas hati terhadap gelagat pemimpin mereka sejak kebelakangan ini memberi petanda positif kepada BN.
Beliau yakin situasi berkenaan dapat diterjemahkan dalam bentuk sokongan agar BN dapat merampas semula kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dimenangi pembangkang dengan majoriti tipis pada pilihan raya umum 2013 lepas.
Teo, yang juga Menteri Tugas-Tugas Khas Sabah, berkata trend peralihan sokongan pengundi parti pembangkang kepada BN itu dilihat akan berlaku di seluruh negara termasuk di Sabah dan Sarawak selain turut mempengaruhi pengundi kawasan bandar.
Dalam pada itu, lebih 1,000 tetamu daripada pelbagai kaum hadir memeriahkan majlis tersebut.
Antara tetamu kenamaan yang turut hadir ialah Yang Dipertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin dan isteri, Toh Puan Hajah Norlidah R.M Jasni serta Ketua Menteri, Tan Sri Musa Aman dan isteri Puan Sri Faridah Tussin.
Hadir sama Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Yahya Hussin, beberapa menteri Kabinet negeri dan Persekutuan serta pemimpin parti komponen BN Sabah.
-- BERNAMA