Pembangkang Muflis Modal Politik Sehingga Guna Isu Perkauman
TAWAU, 25 Feb (Bernama) -- Rakyat perlu menolak pembangkang yang nampaknya muflis modal politik sehingga menggunakan isu berkaitan perkauman, keturunan dan agama sebagai modal serangan untuk meracuni pemikiran rakyat.
Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman berkata rakyat di Sabah hidup dalam satu keluarga besar dengan pelbagai kaum, keturunan dan agama serta saling hormat-menghormati.
"Kita jangan dengar atau terima pihak tertentu (pembangkang) mereka tiada isu, tiada modal dan memainkan isu agama dan kaum ini bukan cara kita di Sabah."
"Kita hormat sesama manusia, agama, kaum dan budaya dan sebab itu hari ini kita boleh merayakan bersama-sama Tahun Baharu Cina di Tawau, kita seperti satu keluarga besar," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap menyempurnakan majlis rumah terbuka sempena Tahun Baru Cina yang dihadiri kira-kira 5,000 penduduk di sini, hari ini.
Majlis anjuran Parlimen Tawau itu turut dihadiri Timbalan Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan, menteri-menteri Kabinet Sabah termasuk Menteri Belia dan Sukan Datuk Tawfiq Abu Bakar Titingan serta Anggota Parlimen Tawau Datuk Dr Mary Yap Kain Ching, yang juga Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi .
Katanya, tanpa membezakan agama, bangsa dan budaya, setiap tahun kerajaan negeri menyediakan peruntukan RM33 juta untuk sekolah cina termasuk rumah ibadah seperti kuil.
"Ini bukti kita bersatu hati, di Sabah kita hanya bercakap tentang persahabatan tiada berpuak-puak," katanya sambil menambah kata perkara itu yang perlu dipertahankan.
Dalam pada itu, Musa menegaskan Sabah terkenal sebagai negeri di Malaysia yang memiliki banyak suku kaum dan agama tetapi masih boleh hidup dengan aman dan harmoni.
Katanya, keamanan dan keharmonian itulah yang membawa kepada kestabilan politik dan ekonomi , seterusnya menyumbang pembangunan Sabah.
"Kalau sekarang kita lihat di Kota Kinabalu, Tawau dan Semporna banyak pelancong luar negara khususnya dari China, Taiwan, Korea, Australia dan Jepun suka dan mereka tahu negeri ini indah dan masyarakatnya peramah," katanya yang turut menjangkakan kemasukan satu juta pelancong China pada tahun ini.
Musa berkata ekoran itu, pelbagai persediaan dilakukan termasuk pembinaan hotel dan pusat pelancongan untuk menerima kedatangan pelancong yang ramai pada tahun ini.
"Ini hasil perpaduan penduduk Sabah yang menjana pendapatan dalam sektor pelancongan kita," katanya dan seiring itu menjadi keutamaan kepada kerajaan untuk memastikan keselamatan di negeri ini terjamin.
"Kita patut berterima kasih kepada Perdana Menteri kerana mewujudkan Kawasan Keselematan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) dan menyediakan peruntukan besar dan menempatkan aset untuk memantau keselamatan di Sabah agar penduduk rasa selamat dan pelancong terus berkunjung ke negeri," katanya lagi.
Sementara itu, beliau meminta agar penduduk Tawau terus memberi sokongan kepada para pemimpin BN di Tawau.
"Anggota Parlimen Tawau (Yap) kita beliau menjalankan tugas dengan baik , Tawau sepatutnya bangga dengan wanita cemerlang ini, pengetua dan Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, anda tidak salah memilih beliau dan berikan kemenangan kepada beliau dalam pilihan raya akan datang,\" katanya.
Yap bertanding di Parlimen Tawau atas tiket Parti Bersatu Sabah, sebuah parti komponen dalam Barisan Nasional Sabah.
-- BERNAMA