Kerajaan Rasional Beri Janji Kepada Rakyat - Ronald
BELURAN, 25 Feb (Bernama) -- Kerajaan rasional dalam memberi janji kepada rakyat kerana mempunyai kemampuan untuk menunaikannya, kata Anggota Parlimen Beluran Datuk Seri Dr Ronald Kiandee.
Menurut beliau, berdasarkan kemampuan itu, kerajaan tahu mana janji yang diberikan kepada rakyat mampu dilaksanakan dan perlu diberi keutamaan.
"Kerajaan ada bukti dan rekod baik dalam menunaikan janji yang diberikan kepada rakyat dan tidak membuat janji kosong berbanding pembangkang yang hanya bersifat populis apabila memberikan janji kepada rakyat untuk meraih sokongan.
Ronald yang juga Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat berkata ini kerana pemimpin atau mereka yang mewakili parti pembangkang hanya berjuang untuk kepentingan peribadi dan bukannya untuk rakyat.
"Sebagai kerajaan yang bertanggungjawab, keperluan rakyat sentiasa diutamakan untuk kesejahteraan hidup mereka," katanya pada Majlis Kenduri Rakyat Zon Pamol di Kampung Tagas-Tagas Paitan dekat sini, hari ini.
Justeru, beliau menyeru rakyat khususnya di kawasan luar bandar supaya tidak terpengaruh dengan janji pembangkang yang pada masa sekarang rajin masuk kampung menjelang pilihan raya.
-- BERNAMA