Peralihan Kuasa Sukarkan Kesinambungan Pembangunan Dilaksana




Datuk Othman Aziz (Gambar fail Bernama)

ALOR SETAR, 25 Feb (Bernama) -- Peralihan kuasa akan menyukarkan kesinambungan pembangunan dilaksanakan di negeri ini berikutan pihak pembangkang tidak akan mampu melaksanakan tanggungjawab kepada rakyat.

Timbalan Menteri Kewangan I Datuk Othman Aziz berkata ini berikutan kekangan yang dihadapi mereka untuk melaksanakan pembangunan demi rakyat.

"Kesinambungan ini bukan untuk negeri Kedah sahaja tetapi semua negeri. Bila kerajaan negeri diperintah orang lain dan idea tak sama dengan kerajaan pusat susah nak pastikan kesinambungan ini diteruskan."

"Nak laksanakan pembangunan ini perlukan sumber tetapi mereka (pembangkang) tiada sumber yang kukuh jadi ia akan menjadi kekangan untuk pastikan kesinambungan pembangunan ini berlaku," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Terdahulu, Othman telah merasmikan Majlis Penyampaian Insentif Estet Padi Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA) melalui Program Projek Permulaan (EPP) 10 Musim 1/2018 sempena Ekspo Muafakat Kedah di Stadium Darul Aman.

Othman yang juga Anggota Parlimen Jerlun berkata Kedah mempunyai barisan pelapis yang hebat untuk diberi mandat menyambung kesinambungan ini dan ia akan dipilih oleh Menteri Besar Kedah Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah.

Semalam, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dalam ucapan perasmian Ekspo Muafakat Kedah menyatakan bahawa kerajaan Barisan Nasional (BN) memerlukan mandat yang lebih besar di Kedah bagi memastikan kesinambungan pembangunan termasuk dalam bidang teknologi tinggi di Kedah.

-- BERNAMA