PRU Medan Penting Tentukan Wakil Rakyat Dan Parti Politik Berkredibiliti

Datuk Seri Idris Haron (kiri) merasmikan bilik gerakan Dewan Undangan Negeri (N27) Merlimau selepas melancarkan Jentera BN P139 Parlimen Jasin di Bandar Merlimau Utara hari ini. Turut hadir Anggota Parlimen Jasin, Datuk Seri Ahmad Hamzah (dua, kanan).
JASIN, 25 Feb (Bernama) -- Pilihan raya umum (PRU) merupakan medan penting untuk menentukan wakil rakyat dan parti politik yang berkredibiliti dan mempunyai kekuatan untuk membela nasib rakyat dalam tempoh lima tahun akan datang.
Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Idris Haron berkata rakyat perlu memberi mandat dan kepercayaan kepada parti politik yang mempamerkan pencapaian cemerlang dalam segala aspek dalam tempoh lima tahun sebelum ini.
"Soal PRU ini tidak boleh dibuat main..kalau kita tidak berupaya membela nasib rakyat, jangan sesekali kita menuntut kuasa berkenaan daripada rakyat.
"Biarkan mereka (parti politik) yang mempunyai kepakaran sahaja untuk membela nasib rakyat di negeri ini iaitu Barisan Nasional (BN) untuk terus memperjuang nasib dan kebajikan rakyat," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Jentera BN P139 Parlimen Jasin di Bandar Merlimau Utara di sini, hari ini.
Turut hadir Anggota Parlimen Jasin Datuk Seri Ahmad Hamzah, Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau Datuk Roslan Ahmad dan ADUN Sungai Rambai Datuk Hasan Abdul Rahman.
Idris yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka berkata semua jentera BN di peringkat negeri, cawangan dan Pusat Daerah Mengundi (PDM) kini berada dalam keadaan bersiap sedia untuk menghadapi PRU14 akan datang.
"Berdasarkan rekod, jumlah pemilih Parlimen Jasin setakat ini adalah seramai 73,020 orang dan 10,858 orang terdiri daripada anggota Wanita UMNO, Pemuda (4,839 orang), dan Puteri (3,303 orang)."
"UMNO Jasin bernasib baik kerana hampir 90 peratus ahli UMNO berada dalam kawasan namun kita tidak boleh menang dengan hanya bergantung kepada Ahli UMNO kerana kekuatan kita hanya 33.3 peratus atau satu pertiga daripada jumlah pemilih."
"Kita perlukan sokongan daripada orang Melayu yang tidak menjadi ahli UMNO dan sokongan kaum Cina dan India," katanya.
-- BERNAMA