NS Mahu 'Hadiahkan' Kerusi Teluk Kemang Dan Seremban Kepada Najib




SEREMBAN, 25 Feb (Bernama) -- Barisan Nasional (BN) Negeri Sembilan berhasrat menghadiahkan kemenangan dua kerusi Parlimen iaitu Teluk Kemang dan Seremban kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) akan datang.

Pengerusinya, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata untuk mencapai hasrat itu, jentera parti perlu bekerja lebih keras untuk menawan dua kerusi Parlimen milik pembangkang itu serta mempertahankan lima kerusi Parlimen yang sedia ada.

Selain itu, katanya, mereka juga meletakkan sasaran menang lebih daripada dua pertiga iaitu 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) berbanding 22 kerusi pada PRU13.

Mohamad, yang juga Menteri Besar, berkata demikian kepada pemberita selepas pelancaran Briged Gempur 2314 peringkat negeri oleh Pemuda BN di Taman Desa Kiara, Sikamat, dekat sini, hari ini.

Turut hadir, Ketua Pemuda BN, Khairy Jamaluddin dan Ketua Pemuda MCA, Datuk Chong Sin Woon.

Dalam perkembangan berkaitan, Mohamad berkata BN negeri masih belum selesai memuktamadkan pemilihan calon untuk bertanding pada PRU14.

"Bagi yang tidak terpilih, mereka perlu akur kerana calon yang dipilih ini akan bertanding sebagai wakil parti dan bukan bertanding sebagai individu."

"Saya tidak mahu kita ulangi kekalahan pada PRU lalu yang kalah di tangan pembangkang bukan kerana mereka kuat, tetapi hanya kerana ahli mensabotaj sesama sendiri," katanya.

Sementara itu, Khairy dalam ucapannya berkata, Sikamat dipilih sebagai lokasi pelancaran program itu sebagai simbolik sasaran BN untuk merampas semula kerusi DUN Sikamat dan Parlimen Seremban yang kini dikuasai pembangkang.

Justeru, beliau menggesa semua jentera Pemuda BN balik ke kawasan masing-masing dan berjumpa dengan pengundi untuk meraih sokongan mereka.

-- BERNAMA