Pemuda PBS Inanam Ikrar Perkukuh Jentera Untuk Rampas Semula DUN




KOTA KINABALU, 26 Feb (Bernama) -- Pemuda Parti Bersatu Sabah (PBS) Inanam berikrar untuk terus memperkukuh jentera parti di semua cawangan di kawasan itu dalam usaha merampas kembali kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Inanam pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

Ketuanya Albert Jumitih berkata untuk itu, pihaknya akan memastikan kesemua 50 Pemuda PBS cawangan dalam keadaan teratur dan sentiasa aktif.

"Pemuda PBS Inanam berjanji akan terus bersatu untuk menyokong siapa sahaja calon Barisan Nasional (BN) yang bertanding di Inanam pada PRU14, " katanya ketika berucap pada majlis santai bersama Pemuda PBS Inanam, di sini semalam.

Turut hadir pada majlis itu Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan, Ketua PBS Inanam Fredolin Totin Bangon dan pemangku Ketua Pemuda PBS pusat Christopher Mandut.

Katanya adalah tidak mustahil untuk PBS merampas semula DUN Inanam asalkan calon yang bertanding disukai rakyat," katanya.

DUN Inanam yang sebelum ini kubu kuat BN, terlepas ke tangan pembangkang pada PRU13 yang menyaksikan calon Parti Keadilan Rakyat Dr Roland Chia mengatasi calon PBS Joseph Paulus Lantik dengan kelebihan 3,202 undi.

Pada majlis itu Abdul Rahman turut menyampaikan sumbangan sebanyak RM10,000 kepada pemuda PBS Inanam.

-- BERNAMA