BN Selangor Kemuka Bantahan Syor Kedua Persempadanan Kawasan Parlimen
SHAH ALAM, 26 Feb (Bernama) -- Barisan Nasional (BN) Selangor hari ini mengemukakan bantahan terhadap cadangan kedua persempadanan semula bahagian pilihan raya melibatkan tujuh kawasan Parlimen kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
Kawasan Parlimen berkenaan ialah Tanjong Karang, Kuala Selangor, Subang, Kuala Langat, Gombak, Ampang dan Serdang.
Pengerusi BN Selangor Tan Sri Noh Omar berkata antara bantahan itu adalah berkaitan pemindahan Pusat Daerah Mengundi (PDM) Sawah Sempadan di bawah Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Burong ke DUN Permatang yang kedua-duanya terletak dalam Parlimen Tanjong Karang.
"Alasan syor kedua SPR bahawa pemindahan PDM itu bertujuan menyeimbangkan bilangan pengundi di kedua-dua DUN berkenaan dilihat tidak bersesuaian," kata Noh yang juga Anggota Parlimen Tanjong Karang kepada pemberita selepas sesi pendengaran bantahan kepada SPR di sini, hari ini.
SPR mengadakan siasatan tempatan kali kedua bagi syor persempadanan negeri Selangor pada hari ini hingga 28 Feb. Tempoh bantahan bagi cadangan kedua persempadanan semula bahagian pilihan raya Parlimen dan DUN Selangor tamat pada 14 Feb lepas.
Semasa mengulas lanjut, Noh berkata pemindahan PDM dilihat tidak berlandaskan kepada Jadual Ketiga Belas Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan persempadanan semula kawasan bukan hanya bergantung kepada keseimbangan pengundi semata-semata tetapi sepatutnya perlu dipengaruhi faktor geografi.
"Keluasan DUN Permatang adalah dua per tiga daripada Parlimen Tanjong Karang manakala DUN Sungai Burong hanya satu pertiga sahaja.
"Jika PDM Sawah Sempadan dipindahkan, bilangan pengundi DUN Permatang yang sekarang ini berjumlah 21,409 orang akan bertambah menjadi 22,831 manakala DUN Sungai Burong yang ketika ini mempunyai 25,091 pengundi, akan berkurangan kepada 23,757 orang," katanya.
Disebabkan itu, Noh berkata tindakan pemindahan PDM itu kelak akan menyukarkan Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) terlibat menyantuni pengundi kerana faktor kawasan sawah padi yang terlalu luas.
Beliau turut mempersoal SPRM mengenai pemindahan PDM berkenaan sedangkan terdapat dua lagi PDM di kawasan sama iaitu PDM Sawah Sempadan Utara dan PDM Sawah Sempadan Selatan tidak pula dipindahkan.
Noh, yang juga Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, berkata bantahan itu dibuat berikutan syor kedua SPR itu tidak mengambil cadangan yang dikemukakan BN semasa syor pertama dan ia dilihat memberi kelebihan kepada gabungan pembangkang Pakatan Harapan di Selangor.
-- BERNAMA