Kesinambungan Mandat Bolehkan Kerajaan Terengganu Lebih Makmurkan Rakyat - TPM
KUALA TERENGGANU, 26 Feb (Bernama) -- Kerajaan negeri amat memerlukan kesinambungan mandat untuk mentadbir Terengganu bagi membawa lebih kemajuan dan kemakmuran kepada rakyat, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Beliau berkata selain menjadikan kerajaan negeri Terengganu yang lebih mantap, mandat yang lebih besar juga akan mendorong sokongan padu daripada kerajaan Persekutuan.
"Kita tahu kesinambungan mandat ini amat diperlukan untuk kerajaan Terengganu menjadi lebih mantap dan mendapat sokongan padu pimpinan atasan," katanya ketika berucap merasmikan Ekspo Terengganu 2018 di perkarangan Kompleks Sukan Gong Badak
Turut hadir isteri Timbalan Perdana Menteri, Datin Seri Hamidah Khamis, Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman, Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Jailani Johari serta barisan pemimpin negeri.
Ekspo Terengganu 2018 bertemakan 'Terengganu Molek Doh' anjuran kerajaan negeri, selama seminggu bermula semalam hingga 3 Mac ini, mempamerkan banyak kisah kejayaan yang dilakarkan rakyat Terengganu selama ini hasil bantuan pelbagai jabatan dan agensi kerajaan berserta komitmen tinggi mereka.
Selain hiburan, kluster kerajaan negeri, kluster daerah dan kluster portfolio turut dipaparkan semasa ekspo itu.
Ahmad Zahid berkata perancangan dan pelaksanaan berfokus yang dilakukan oleh kerajaan negeri Terengganu banyak memberi faedah secara langsung dan tidak langsung kepada rakyat.
Beliau berkata pelbagai faedah itu dapat dilihat seperti yang dipamerkan pada Ekspo Terengganu 2018 yang merangkumi pelbagai bidang.
Sehubungan itu, beliau berharap rakyat memberi sokongan yang lebih besar kepada kerajaan negeri Terengganu pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14) supaya kesinambungan pembangunan negeri dapat diteruskan.
Ahmad Zahid berpuas hati dengan semangat kepimpinan berpasukan yang tidak membiarkan Ahmad Razif keseorangan dalam mentadbir negeri sehingga menjadikan negeri ini lebih membangun.
"Saya teruja dengan semangat kerja berkumpulan, anggota Exco kerajaan negeri, Setiausaha Kerajaan Negeri (Datuk Seri Wan Nawawi Wan Ismail), pegawai kerajaan dan pihak lain yang memberi sokongan sepenuhnya kepada Ahmad Razif.
"Amat rugi, amat dukacita jika ada isu remeh dijadikan isu pokok (namun) saya lihat isu-isu ini telah diselesaikan dengan baik," kata Ahmad Zahid.
Beliau yang juga Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) berkata sokongan politik, pentadbiran awam, korporat dan lain-lain kepada menteri besar akan menjadikan hubungan baik antara negeri dan persekutuan dapat diperkasakan.
Beliau berharap senario yang baik itu akan mendorong BN memperoleh kemenangan yang besar pada PRU14 nanti.
Ketika ini, BN menguasai 17 daripada 32 kerusi Dewan Undangan Negeri manakala PAS (14) dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) (satu).
Bagi kerusi Parlimen, BN dan PAS, masing-masing menguasai empat kerusi.
-- BERNAMA