BN Sabah Perlu Terap Mentaliti Menang Hadapi PRU14 - Musa





KOTA KINABALU, 26 Feb (Bernama) -- Parti komponen Barisan Nasional (BN) Sabah perlu menerapkan mentaliti menang dalam menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) seterusnya memastikan kejayaan besar parti pada pilihan raya itu, kata Pengerusi BN Sabah Tan Sri Musa Aman.

Beliau berkata perpaduan dan kerjasama jitu antara anggota parti khususnya Parti Bersatu Sabah (PBS); Pertubuhan Pasokmomogun Kadazandusun Murut Bersatu (UPKO); dan Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) juga perlu terus dipertingkatkan sebagai kekuatan menghadapi pembangkang pada pilihan raya itu.

Menurutnya, tidak ada yang mustahil untuk BN sekali lagi mencapai kemenangan besar di Sabah berikutan parti itu mempunyai rekod pencapaian terbaik dalam membawa pembangunan di negeri ini selain menggariskan pelbagai dasar demi kepentingan rakyat.

"Walau bagaimanapun, kita jangan ambil mudah kerana situasi juga landskap dalam setiap pilihan raya berubah (berbeza) dan kita mesti sentiasa sesuaikan diri bagi menghadapi cabaran.

"Kita mesti terus bekerja dan bersatu kerana dengan perpaduan serta kerjasama jitu antara anggota parti akan menjadikan kita kuat. Jangan gentar mahupun takut dengan parti lawan kerana mereka tidak kuat malah menghadapi banyak masalah," katanya berucap merasmikan Program Pemukiman 'Tatap BN' Pemimpin Tertinggi PBS, UPKO dan PBRS mengenai jentera PRU14 di sini hari ini.

Turut hadir Timbalan Ketua Menteri Tan Sri Joseph Pairin Kitingan yang juga Presiden PBS; Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air Datuk Seri Dr Maxiumus Ongkili selaku Pemangku Presiden PBS; Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Wilfred Madius Tangau yang juga Pemangku Presiden UPKO; dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Joseph Kurup selaku Presiden PBRS.

Mengulas lanjut, Musa berkata, anggota parti komponen BN perlu terus fokus dan tidak terpengaruh dengan propaganda pembangkang yang hanya menabur fitnah serta tohmahan tidak berasas kepada parti.

Beliau berkata anggota BN juga seharusnya tidak mempunyai perasaan ragu mahu pun malu untuk mengangkat parti itu kepada mana-mana pihak kerana BN adalah sebuah parti yang berjaya membela nasib rakyat di negeri ini.

Beliau turut memberi penghargaan atas keprihatinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang juga presiden parti kerana sentiasa mengambil perhatian terhadap keperluan rakyat Sabah dengan memberi peruntukan besar setiap tahun bagi pembangunan negeri itu selain melantik wakil rakyat Sabah memegang enam portfolio penting di peringkat persekutuan.

Mengenai program, Musa berkata perjumpaan itu menunjukkan wujudnya persefahaman antara PBS, UPKO dan PBRS sekali gus membuktikan kematangan antara ketiga-tiga parti dalam memperjuang kepentingan serta nasib rakyat Sabah khususnya masyarakat Kadazandusun Murut.

"Sudah sampai masanya untuk kita memaksimumkan perpaduan dan solidariti sesama kita bagi menghadapi pilihan raya akan datang. Jangan kita berpecah...kalau kita berpecah kita akan lemah dan kita tidak akan ada 'suara'.

"Kalau kita bersatu dan kuat...kita akan ada 'suara'. Kita mesti bekerjasama supaya kita boleh mencapai lebih baik daripada sebelumnya," katanya.

-- BERNAMA