PBS, UPKO, PBRS Sepakat Perkukuh Kerjasama Hadapi PRU14




KOTA KINABALU, 26 Feb (Bernama) -- Tiga parti komponen Barisan Nasional (BN) Sabah berasaskan masyarakat Kadazandusun Murut (KDM) sepakat untuk terus memperkukuh kerjasama dan memperkasa perpaduan dalam menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) akan datang.

Ketiga-tiga kepimpinan Parti Bersatu Sabah (PBS), Pertubuhan Pasokmomogun Kadazandusun Murut Bersatu (UPKO) dan Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) percaya perpaduan dan kesatuan jitu adalah senjata kuat bagi memenangi semua kerusi diperuntukan sekali gus menyumbang kemenangan besar kepada BN pada pilihan raya berkenaan.

Pemangku Presiden PBS Datuk Seri Dr Maximus Ongkili berkata semua anggota parti termasuk rakyat di peringkat akar umbi perlu memberi sokongan sepenuhnya kepada tiga parti komponen BN itu demi kebaikan dalam memperjuangkan kepentingan rakyat Sabah khususnya masyarakat KDM.

"Terdapat 20 kerusi DUN (Dewan Undangan Negeri) bagi ketiga-tiga parti ini, masing-masing 13 bagi PBS, enam (UPKO) dan satu kerusi DUN bagi PBRS manakala ada 10 kerusi Parlimen (diperuntukkan kepada tiga parti tersebut).

"Justeru itu, PBS, UPKO dan PBRS, kali ini kita mesti habis-habisan bekerjasama dan membentuk perpaduan kukuh bagi memenangi PRU14," kata Ongkili yang juga Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air pada Program Pemukiman 'Tatap BN' Pemimpin Tertinggi ketiga-tiga parti itu mengenai jentera PRU14 hari ini.

Program itu dirasmikan Ketua Menteri Tan Sri Musa Aman yang juga Pengerusi BN Sabah.

Sementara itu, Pemangku Presiden UPKO Datuk Wilfred Madius Tangau berkata rakyat Sabah khususnya masyarakat KDM perlu memberi sokongan penuh kepada ketiga-tiga parti kerana hanya parti itu yang mampu mengatasi pelbagai masalah dihadapi KDM selain sentiasa bersedia membela nasib mereka.

"Perpaduan dan solidariti anggota parti adalah senjata untuk menghadapi segala cabaran PRU14. Kita perlu bersatu... Biarlah kita berlainan bantal tetapi apa lebih penting kita mempunyai mimpi yang sama. Tidak kira calon parti komponen BN (manapun), mesti sokong," kata Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi itu.

Pandangan sama turut diberikan Timbalan Presiden PBRS Arthur Kurup yang berkata ketiga-tiga parti komponen BN itu perlu bersatu padu bagi mencapai matlamat untuk memastikan kemenangan pada PRU14 seterusnya menjadi nadi memperjuang nasib masyarakat KDM.

Beliau juga berharap ketiga-tiga parti mampu menawan semula semua kerusi daripada pembangkang pada PRU14 akan datang.

Dalam pada itu, Musa berkata perjumpaan berkenaan menunjukkan wujudnya persefahaman antara PBS, UPKO dan PBRS sekali gus membuktikan kematangan antara ketiga-tiga parti dalam memperjuang kepentingan serta nasib rakyat Sabah khususnya masyarakat KDM.

"Sudah sampai masa untuk kita memaksimumkan perpaduan bagi menghadapi pilihan raya. Jangan kita berpecah. Kalau berpecah akan lemah dan kita tidak akan ada 'suara'.

"Kalau kita bersatu dan kuat, kita ada 'suara'. Kita mesti bekerjasama supaya kita boleh mencapai lebih baik daripada sebelumnya," katanya.

-- BERNAMA