Ekspo Terengganu 2018 Bukti Kecemerlangan Kerajaan Pimpinan BN
KUALA NERUS, 26 Feb (Bernama) -- Penganjuran Ekspo Terengganu 2018 adalah bukti kemampuan dan keupayaan kerajaan negeri di bawah Barisan Nasional (BN) dalam membangun bangsa dan membina peradaban, sekali gus memberi lebih banyak harapan demi masa depan terbaik untuk generasi akan datang.
Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman berkata sekiranya ada sekelumit kebaikan diperoleh pengunjung pada ekspo itu, ia bukanlah hasil kebaikan beliau seorang, tetapi terhasil daripada usaha semua pihak termasuk barisan kepimpinan negeri, pegawai dan kakitangan kerajaan, malah seluruh rakyat Terengganu yang bersama-sama memajukan negeri dan negara.
"Contoh paling mudah misalnya ialah penyediaan Bajet Negeri setiap tahun, kebanyakan input untuk program sentuhan rakyat sebenarnya hasil cadangan diterima daripada rakyat melalui Makmal Bajet yang diadakan di semua daerah.
"Dalam hal ini, semua agensi kerajaan memainkan peranan dengan baik, menyalurkan bantuan serta menyediakan ekosistem yang akhirnya meningkatkan kebarangkalian untuk rakyat Terengganu berjaya.
"Kita juga dapat saksikan, begitu banyak cerita kejayaan dicipta, bukan sahaja oleh kerajaan negeri, malah dicatat dalam kalangan rakyat sendiri. Inilah bukti rakyat Terengganu sebenarnya mampu mencipta nama dan bersaing dengan semangat waja. Kita sebenarnya boleh menjadi hebat bukan sahaja di peringkat negara, malah di pentas dunia," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian Ekspo Terengganu 2018 yang disempurnakan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi di sini hari ini.
Ahmad Razif berkata ini kali pertama kerajaan Terengganu mengadakan ekspo yang besar, hebat dan padat daripada segi kaedah persembahan dan kepelbagaian pengisian melibatkan begitu banyak pihak.
"Daripada usaha dianggap kecil seperti menutup premis perniagaan selama dua jam pada Jumaat, atau mengambil tindakan tegas ke atas mereka yang tidak solat Jumaat, sehinggalah kepada perkara dianggap besar seperti menjadikan bandar raya Kuala Terengganu sifar Mat Rempit atau membina kemudahan infrastruktur yang boleh dimanfaatkan puluhan ribu rakyat.
"Semua ini kita tampilkan dalam ekspo yang julung kali kita adakan di Terengganu. Saya tidak dapat senaraikan semua aktiviti, peluang pekerjaan dan perniagaan, acara tarikan untuk pengunjung dan penampilan ikon-ikon Terengganu sepanjang ekspo ini kerana ia terlalu banyak dan senarainya terlalu panjang.
"Saya cuma ingin tegaskan semua kita lihat sepanjang tujuh hari tujuh malam ini, kita tampilkan semua usaha kita laksanakan dan perancangan masa hadapan yang kita gariskan ke arah mensejahterakan hidup rakyat, bukan sahaja sejahtera hidup di dunia tetapi lebih penting sejahtera di akhirat," katanya.
-- BERNAMA